SHAH ALAM, 6 DIS: Produk Ehsan keluaran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) termasuk hasil tanaman Selangor Fruit Valley (SFV) bakal tembusi pasaran global bermula tahun depan.
Ketua pegawai eksekutif kumpulan PKPS berkata sajian sedia dimakan (ready to eat) juga akan ditempatkan di pasar raya di London sekali gus mempromosi produk tempatan.
“PKPS juga dijangka menyertai Program Malaysia Fair 2025 di London. Ini merupakan peluang besar untuk kita memperkenalkan produk di pentas antarabangsa.
“PKPS akan terus peluang serta ruang yang ada demi mengangkat jenama produk Ehsan ke pasaran global,” kata Datuk Wira Dr Mohamad Khairil Mohd Razi kepada Selangorkini.
Beliau berkata perkara itu sudah dibincangkan dengan lebih lanjut bersama Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di United Kingdom, Datuk Zakri Jaafar semalam.
Tahun lalu, PKPS menerima Anugerah Pengurusan Berkualiti 2023 di Dubai sempena Persidangan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ekoran kejayaan cemerlang termasuk pengendalian program Jualan Ehsan Rahmah (JER).
Pengiktirafan itu juga turut menilai usaha PKPS mengendalikan isu jaminan bekalan makanan selepas berlakunya penularan Covid-19.