ad
BERITA UTAMA

Cabang aliran pemikiran Islam, menjawab kekeliruan konsep akidah

6 Dis 2024, 4:00 AM
Cabang aliran pemikiran Islam, menjawab kekeliruan konsep akidah

Sebelum kedatangan Nabi Muhammad SAW, masyarakat Arab di Mekah menyembah berhala. Di keliling kaabah, terdapat ratusan patung sembahan yang direka cipta oleh masyarakat Quraish.

Seperti dimaklumi bahawa kependudukan di Mekah bermula dengan kewujudan telaga zam zam iaitu pada zaman Nabi Ismail bersama ibunya, Hajar. Sebelum itu, Mekah adalah tanah gersang dan tidak ada tumbuhan. Juga tidak ada penduduk walaupun Mekah menjadi laluan masyarakat Yaman ke Syam untuk berniaga. Selepas telaga itu dijumpai, peniaga-peniaga Yaman mula membina penempatan. Ia berkembang sehingga ia menjadi satu penempatan.

Walaupun kaabah dibina oleh Nabi Ibrahim bersama Nabi Ismail tetapi keberhalaan di sekeliling kaabah berlaku ratusan selepas era kewafatan dua nabi yang mulia itu. Ia bermula apabila seorang penduduk Mekah bernama Amr bin Luhay al-Khuza'i telah ke Syam. Beliau melihat masyarakat di sana menyembah berhala. Dia berfikir untuk membawa pulang beberapa patung untuk diperkenal kepada masyarakat Mekah.

Sesampai di Mekah, beliau memperkenal patung bernama Hubal. Lama kelamaan, beliau membawa masuk pula patung lain yang diperkenal dengan nama al-Lata yang kononnya asal dari sebutan Allah, dan satu lagi patung diperkenal dengan nama al-Uzza yang kononnya asal dari sebutan al-Aziz yang kedua-dua pernah diajar oleh Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail.

Memandangkan masyarakat Mekah sudah ratusan tahun ketiadaan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail, mereka mudah terkeliru berkenaan konsep akidah. Ajaran dua nabi tersebut pun sudah kabur dari pemahaman mereka. Dengan itu, perbuatan memperkenal patung Al-Lata sebagai manifestasi Allah dan al-Uzza sebagai manifestasi al-Aziz mudah dipercayai. Dengan itu, bermula sembahan berhala di Mekah. Apatah lagi, kalangan bangsawan menjadikan berhala sebagai sumber kekayaan dan kuasa memerintah, maka mereka mencipta pelbagai berhala hingga berhala di Mekah semakin banyak, malah berada di keliling kaabah.

Kedatangan Nabi Muhammad mengembalikan ajaran Islam yang pernah diajar oleh Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail. Kembali menyembah Allah Yang Maha Esa, Tuhan yang tidak dapat dibentuk seperti kepercayaan penyembah berhala, menolak konsep kesamaan Allah dengan makhluk yang boleh beranak dan diperanakkan seperti kepercayaan Yahudi dan Nasrani.

Dalam era Nabi Muhammad SAW, sumber bagi kefahaman terhadap Allah adalah al-Quran. Sebarang kekeliruan dan kekaburan boleh terus rujuk kepada Baginda. Namun, selepas kewafatan Rasulullah, persoalan-persoalan berkenaan konsep Allah tidak begitu rencam. Namun, selepas perkembangan Islam bukan sekadar berada di sekitar Arab dan tersebar hingga kepada masyarakat yang pernah beragama secara metafizika secara mendalam seperti kalangan Majusi di sekitar Farsi dan kalangan Hindu di sekitar India, banyak persoalan-persoalan baharu timbul.

Sekolah pemikiran

Dalam menjawab semua perkara ini, dialektika pemikiran umat Islam ketika itu bergerak hingga wujud pemikiran rasional hingga lahir madrasah pemikiran yang dikenali sebagai Muktazilah. Dari sudut pensejarahan, mereka adalah madrasah pemikiran umat Islam terawal yang menjawab banyak persoalan yang dibangkitkan oleh kalangan Nasrani dalam mempertahan konsep bahawa Nabi Isa bukan anak Tuhan.

Ketika menjawab serta berdebat dengan Nasrani, ia melahirkan jawapan–jawapan perkara akidah yang tidak pernah berbangkit pada era nabi dan para sahabat. Antaranya, konsep kewujudan yang tidak ada permulaan kewujudannya yang disebut sebagai “qadim” dan konsep kewujudan yang ada permulaan kewujudannya yang disebut sebagai “hadis”. Justeru, apabila disebut sebagai Tuhan Yang Maha Pencipta, maka ia adalah “qadim”. Makanya, makhluk yang dicipta pasti adalah “hadis”.

Pihak Nasrani berhujah bahawa al-Quran menyebut bahawa Nabi Isa adalah kalamullah. Memandangkan Nabi Isa adalah Tuhan, pasti kalamullah adalah “qadim”. Hujah ini dibantah oleh kalangan Muktazilah; mereka nyatakan bahawa Nabi Isa bukan Tuhan, maka Nabi Isa dari kalamullah adalah “hadis”.

Dari perdebatan itu, lahir satu wacana bahawa kalamullah adalah “hadis” yang dikenali dalam wacana bertajuk al-Quran adalah makhluk. Wacana ini tidak pernah dibincang oleh kalangan awal umat Islam. Ia tidak pernah dibincang oleh Nabi Muhammad SAW. Malah, hal ini tidak pernah dibangkitkan oleh para sahabat.

Kesimpulan bahawa kalamullah adalah “hadis” yang dikemuka oleh Muktazilah ekoran respon terhadap debat bersama Nasrani itu dibantah oleh seorang ulama besar yang terkenal dengan keilmuannya iaitu Imam Ahmad bin Hanbal (164H-241H). Beliau bangkit dan membantah kesimpulan itu. Daripada beliau pula, terdapat ilmuan-ilmuan yang mendukungnya hingga lahir madrasah pemikiran yang dikenali sebagai Hanabilah.

Dengan itu, wujud pertembungan wacana antara umat Islam iaitu pertembungan antara kelompok Hanabilah dan Muktazilah. Pertembungan itu memakan masa ratusan tahun sehingga lahir seorang tokoh bernama Abul Hasan al-Asy’ari (260H-324H) yang pernah mendapat pendidikan dari madrasah Muktazilah bahawa dia melawan aliran Muktazilah sehingga lahir sekolah pemikiran yang bernama Asya’irah.

Kedua-dua madrasah pemikiran ini hakikatnya melawan Muktazilah. Namun lama kelamaan, berlaku pertembungan pula antara dua madrasah pemikiran. Apatah lagi, pertembungan itu berlaku selepas kewujudan seorang tokoh yang menyeru kembali kepada madrasah Hanabilah yang bernama Ibn Taimiyyah.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.