ad
AGENDA

Sultan Selangor titah jawatankuasa masjid bendung ajaran sesat

6 Dis 2024, 1:00 AM
Sultan Selangor titah jawatankuasa masjid bendung ajaran sesat

KLANG, 6 DIS: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor menitahkan ahli jawatankuasa Masjid Jamek Cina Muslim Klang mengambil langkah proaktif bagi membendung amalan ajaran sesat supaya tidak bertapak di masjid tersebut.

Titah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, masalah ajaran sesat ketika ini amat membimbangkan kerana ia bukan hanya mencemarkan kesucian Islam malah memecahbelahkan perpaduan umat Islam.

“Penyimpangan akidah adalah satu ancaman serius yang tidak boleh dipandang remeh kerana masalah itu ibarat api dalam sekam yang boleh marak tanpa disedari.

“Dalam dunia akhir zaman ini, fitnah dan kekeliruan di kalangan umat Islam begitu bermahajaralela menyebabkan umat Islam mudah sesat dan terjerumus ke dalam ajaran-ajaran menyeleweng,” titah Baginda.

Menyempurnakan perasmian masjid berkenaan, Sultan Sharafuddin mengingatkan umat Islam agar menjadikan masjid sebagai tempat penyatuan dan perpaduan umat Islam tidak mengira kaum dan warna kulit.

Titah Baginda, umat Islam digalakkan untuk menggunakan masjid sebagai pusat ibadat, pusat untuk menimba ilmu dan pusat kemasyarakatan selain memastikan masjid kekal sebagai tempat yang selamat bagi umat Islam tanpa mengira latar belakang atau fahaman politik.

Pada masa sama, Sultan Sharafuddin menyeru umat Islam sentiasa memberikan tumpuan dan fokus kepada khutbah Jumaat yang disampaikan pada setiap minggu.

“Dalam keadaan ketiadaan kepimpinan khalifah pada zaman ini maka khutbah dan mimbar Jumaat berperanan sebagai mewakili suara khalifah bagi menyampaikan ingatan dan nasihat kepada umat Islam.

“Khutbah berperanan sebagai wadah ilmu dan membuat seruan kepada umat Islam untuk bertaqwa kepada Allah SWT dan berpegang kepada akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah, aliran Asha'irah dan Maturidiah.

“Khutbah adalah sebagai medium bagi mengajak umat Islam untuk sentiasa hidup harmoni saling hormat menghormati dan mementingkan perpaduan,” titah Sultan Selangor.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.