ad
AGENDA

Berhenti bergantung pekerja asing, lebih RM40 bilion aliran keluar wang

5 Dis 2024, 2:56 PM
Berhenti bergantung pekerja asing, lebih RM40 bilion aliran keluar wang

Oleh Danial Dzulkifly

SHAH ALAM, 5 DIS: Bekas Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Muhammad Ibrahim berkata Malaysia perlu menangani masalah pergantungan kepada pekerja asing.

Beliau yang juga pro-canselor Universiti Selangor (Unisel), berkata meskipun tenaga kerja asing turut berperanan menyokong pertumbuhan ekonomi negara seperti dalam sektor pembuatan, pembinaan dan perladangan namun kesan langsung terhadap pergantungan itu mempunyai implikasi luas.

"Terlalu bergantung kepada pekerja asing menyebabkan produktiviti terbantut dan akses kepada pekerja berkemahiran rendah tidak menggalakkan pelaburan dalam teknologi dan inovasi.

"Ia akan menghalang Malaysia untuk menjadi negara berpendapatan tinggi. Isu kiriman wang ke luar juga membimbangkan. Pekerja asing menghantar sebahagian besar pendapatan mereka ke negara asal yang menjejaskan imbangan pembayaran.

"Aliran keluar wang ini dianggarkan lebih RM40 bilion. Jika ia dilaburkan semula dalam negara ia boleh meningkatkan ekonomi," katanya dalam program Dialog Shah Alam di Unisel hari ini.

Dialog Shah Alam dianjurkan Pejabat Dato’ Menteri Besar dengan kerjasama Unisel, IDE dan SRI. Ia diadakan kali kedua selepas penganjuran sulung pada 2019, yang ditangguh akibat pandemik Covid-19.

Mengulas lanjut Muhammad berkata satu lagi isu adalah berkaitan gaji terutama untuk pekerja rendah dan separuh mahir.

Beliau berkata tanpa perubahan dasar yang drastik Malaysia akan terus menghadapi isu ekonomi termasuk pengangguran.

"Hari ini ramai pembantu rumah, pekerja asing datang ke Malaysia mencari rezeki tetapi pada masa hadapan, jangan terkejut jika anak lelaki dan perempuan kita menjadi buruh di negara luar.

"Masalah ini benar, ia mungkin tak nampak sekarang tetapi jika perubahan yang diperlukan tidak dibuat, dalam 30 tahun lagi anak cucu kita jadi buruh asing di negara lain," kata beliau.

Justeru itu Muhammad berkata untuk menangani cabaran itu tindakan komprehensif perlu dilakukan termasuk mengurangkan pergantungan kepada buruh asing.

"Selain itu melabur dalam teknologi, tambah baik dasar buruh serta tingkatkan pembangunan kemahiran buat tenaga kerja tempatan.

"Walaupun sakit tetapi ia perlu demi kebaikan anak-anak kita. Pergantungan Malaysia kepada buruh asing mesti dikurangkan. Kegagalan untuk menanganinya boleh membawa kerosakan dalam jangka masa panjang," katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.