ad
SELANGOR

Unisel sahut saranan anjur sekali lagi Dialog Shah Alam

5 Dis 2024, 11:25 AM
Unisel sahut saranan anjur sekali lagi Dialog Shah Alam
Unisel sahut saranan anjur sekali lagi Dialog Shah Alam

SHAH ALAM, 5 DIS: Universiti Selangor (Unisel) menyahut saranan Kerajaan Negeri untuk menganjurkan sekali lagi program Dialog Shah Alam demi perkongsian ilmu bersama masyarakat.

Naib Canselornya Prof Emeritus Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman berkata program berkenaan julung kali diadakan pada 2019 namun tidak dapat diteruskan akibat pandemik Covid-19.

“Program dan usaha hari ini sebenarnya adalah cetusan idea Dato’ Menteri Besar yang disampaikan kepada saya ketika istiadat konvokesyen Unisel diadakan pada September lalu.

“Hasil kerjasama semua pihak, program ini dapat direalisasi dan ia merupakan sebahagian daripada proses bagi membolehkan kerangka intelektual berkembang mekar di Unisel dan Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Dialog Shah Alam yang dianjurkan Pejabat Dato’ Menteri Besar dengan kerjasama Institut Darul Ehsan (IDE) dan Institut Kajian Selangor (SRI).

[caption id="attachment_676465" align="alignnone" width="838"] Peserta Forum Dialog Shah Alam "Memperkasa Ekonomi Rakyat: Jalan Menuju Kese ahteraan Sosial" di Unisel Shah Alam pada 5 Disember 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIA SELANGOR[/caption]

Program di Kampus Shah Alam Unisel disempurnakan Dato’ Seri Amirudin Shari dengan syarahan utama disampaikan mantan Gabenor Bank Negara Tan Sri Muhammad Ibrahim.

Dalam pada itu, Mohammad Redzuan memaklumkan Unisel kini diiktiraf dalam Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) bersama lima universiti lain.

Lima universiti itu adalah Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Dua lagi universiti adalah Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL).

“Semoga dengan pengiktirafan ini, Unisel akan terus cemerlang dan berdaya saing pada masa-masa akan datang,” katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.