PUTRAJAYA, 5 DIS: Dua pekerja warga Indonesia maut manakala seorang lagi parah selepas dipercayai terjatuh kren ketika melakukan kerja mengecat bangunan kuarters di Presint 8 di sini, hari ini.
Dalam kejadian 9.20 pagi itu, ketiga-tiga lelaki berkenaan yang berada dalam 'bucket' kren tersebut untuk mengecat bangunan, terjatuh dari ketinggian aras tujuh bangunan berkenaan selepas kren itu terbalik.
Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Aidi Sham Mohamed berkata mangsa yang maut dikenali sebagai Sukawan Wilkhan, 54, dan Danianto Yusak, 53, manakala seorang lagi rakan mangsa dikenali sebagai Yasin, 56, parah.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berpunca apabila jek hidraulik jentera terbenam dalam tanah dan menyebabkan kren hilang keseimbangan lalu terbalik.
“Ketika kejadian, ketiga-tiga mangsa berada di atas bucket kren untuk kerja mengecat bangunan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata kesemua mangsa kini dibawa ke Hospital Putrajaya untuk rawatan serta bedah siasat.
Sementara itu, Pengarah Bomba Wilayah Persekutuan Putrajaya Abdul Manaf Che Isa berkata 15 anggota Balai Bomba dan Penyelamat Presint 7 dan 14, dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada 9.30 pagi.
“Anggota membantu Kementerian Kesihatan dan polis mengangkat mangsa untuk dibawa masuk ke dalam ambulans dan kenderaan polis.
“Anggota turut melakukan kerja pembersihan tumpahan cat di lokasi dengan menggunakan satu aliran air dari tangki jentera sehingga selesai,” katanya.
Beliau berkata seorang anggota bomba yang berada di luar penugasan turut membantu sewaktu awal kejadian, dengan memberikan bantuan kecemasan menerusi Pernafasan Resutasi Kardiopulmonari (CPR) kepada mangsa terlibat.
“Siasatan kes berkenaan diserahkan kepada pihak berkuasa,” katanya menambah operasi di tempat kejadian tamat pada 10.57 pagi.
- BERNAMA