SHAH ALAM, 5 DIS: Selangor sedia membangunkan jabatan data tersendiri bagi memastikan semua keperluan pembangunan negeri terus mampan dan seimbang.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sudah tiba masanya kerajaan melaksana transformasi pengurusan data nasional dan memastikan setiap negeri memiliki institusi pengumpulan data sendiri.
“Perlu ada transformasi yang besar dari segi pengurusan data nasional di mana ada institusi negeri yang boleh mengumpul data secara terperinci dan tidak hanya secara berpusat.
[caption id="attachment_676478" align="aligncenter" width="1084"] Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap dalam program Dialog Shah Alam "Memperkasa Ekonomi Rakyat: Jalan Menuju Kesejahteraan Sosial" di Universiti Selangor (Unisel) Shah Alam pada 5 Disember 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIA SELANGOR[/caption]
“Kita mempunyai data yang banyak dan ada kemampuan untuk analisa data, tetapi kita juga perlukan kajian berterusan supaya pada masa hadapan, apabila kita mahu bangunkan satu dasar baharu, kita ada data lengkap,” katanya.
Beliau ditemui selepas menyempurnakan program Dialog Shah Alam di Universiti Selangor (Unisel) di sini, hari ini, yang turut dihadiri naib canselornya Prof Emeritus Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman.
Dalam majlis itu, mantan Gabenor Bank Negara Tan Sri Muhammad Ibrahim menyampaikan syarahan perdana selain mencadangkan penubuhan jabatan data yang perlu diuruskan dengan lebih terperinci oleh semua pihak.
Menurut Amirudin, pandangan Gabenor Bank Negara kelapan itu perlu dipertimbangkan dengan baik dan ia tidak mustahil dilaksanakan walaupun mungkin berdepan kekangan kos serta peraturan.
“Data ini satu bancian. Data yang lebih terperinci mengikut keperluan semasa, itu sebenarnya lebih baik. Logiknya, semakin ke bawah data itu ia akan menjadi lebih terperinci dan khusus,” katanya.
[caption id="attachment_676476" align="aligncenter" width="1196"] Peserta Dialog Shah Alam "Memperkasa Ekonomi Rakyat: Jalan Menuju Kesejahteraan Sosial" di Universiti Selangor (Unisel) Shah Alam pada 5 Disember 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIA SELANGOR[/caption]