ad
AGENDA

Wanita warga China ditahan bantu siasatan kes bunuh juruwang restoran

5 Dis 2024, 7:38 AM
Wanita warga China ditahan bantu siasatan kes bunuh juruwang restoran

KUALA LUMPUR, 5 DIS: Wanita warga China ditahan bagi membantu siasatan kes pembunuhan juruwang wanita rakan senegara yang maut ditikam di sebuah restoran di pusat beli-belah di Cheras, di sini Jumaat lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata wanita berusia 34 tahun itu ditahan di sekitar ibu negara, petang semalam.

Beliau berkata hasil bedah siasat terhadap mangsa pada 30 November lalu mendapati kecederaan pada paru-paru sebelah kiri serta pendarahan disahkan sebagai punca kematian.

“Bagaimanapun sehingga kini, motif pembunuhan dan suspek utama masih belum dapat dipastikan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Rusdi, permohonan reman terhadap wanita berkenaan akan dibuat hari ini.

Beliau berkata permohonan sambung reman terhadap tujuh lagi individu terdiri dua lelaki warga China, empat warga Myanmar termasuk dua wanita, dan seorang lelaki tempatan, akan dibuat selepas tempoh reman pertama tamat esok.

Pada 29 November lalu, media melaporkan wanita warga China maut dipercayai ditikam di pusat beli-belah di Cheras antara 3 hingga 4 petang.

Mangsa berusia 49 tahun bekerja sebagai juruwang di sebuah restoran di pusat beli-belah berkenaan.

Pada 30 November, polis menahan tujuh individu yang juga rakan sekerja bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Setakat ini 10 individu sudah dirakam keterangan bagi membantu siasatan.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.