SHAH ALAM, 5 DIS: Bidang pendidikan harus menjadi asas pembangunan baharu kepada Selangor bagi memastikan negeri menjadi lebih lestari dan kekal sebagai gedung ekonomi.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pertumbuhan mampan dan daya saing negeri bergantung kepada pembangunan modal insan sejajar dengan permintaan industri yang kompleks.
“Dalam dialog dan ucapan sebelum ini, saya secara konsisten menegaskan bahawa kemajuan Selangor mesti berpaksikan dalam ilmu dan pendidikan.
“Malah, dari perbincangan kita dengan pelabur tempatan dan antarabangsa sebelum ini, kebimbangan yang mereka nyatakan adalah sama ada kita mempunyai sumber manusia yang sejajar dengan keperluan pembangunan.
“Jadi untuk menanganinya, pendidikan harus menjadi asas baharu kita untuk daya tahan dan sumbangan berterusan,” katanya ketika berucap merasmikan Dialog Shah Alam di Universiti Selangor (Unisel) di sini, hari ini.
[caption id="attachment_676457" align="alignnone" width="805"] Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) bersama peserta Forum Dialog Shah Alam "Memperkasa Ekonomi Rakyat: Jalan Menuju Kese ahteraan Sosial" di Unisel Shah Alam pada 5 Disember 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIA SELANGOR[/caption]
Meski negeri lain memberi tumpuan kepada pelaburan ekonomi, Amirudin berkata kejayaan Selangor bergantung kepada kelestarian dalam penghasilan tenaga kerja yang sepadan dengan keperluan industri.
Jelasnya, penubuhan Institut Penyelidikan Selangor (SRI) dan Institut Darul Ehsan (IDE) adalah bertujuan memajukan pembangunan ilmu dan kemahiran sekali gus memenuhi keperluan tersebut.
“IDE menyediakan pandangan bebas untuk membantu negeri manakala SRI memberi tumpuan kepada bidang khusus seperti dasar penyesuaian iklim dan rangka kerja ekonomi.
“Kedua-duanya membantu mewujudkan platform komprehensif untuk penyelidikan dan pembangunan Selangor,” katanya.
Dialog Shah Alam dianjurkan Pejabat Dato’ Menteri Besar dengan kerjasama Unisel, IDE dan SRI diadakan kali kedua selepas penganjuran sulungnya pada 2019, yang ditangguh akibat pandemik Covid-19.
Program itu menampilkan mantan Gabenor Bank Negara Tan Sri Muhammad Ibrahim sebagai penyampai syarahan utama selain pengisian forum yang mengupas topik memperkasa ekonomi rakyat.