SHAH ALAM, 5 DIS: Tumpuan negeri kepada industri kecerdasan buatan (AI) dan semikonduktor menjamin kemampanan dan kesejahteraan rakyat seiring dengan keperluan masa depan.
Setiausaha akhbar Dato’ Menteri Besar berkata langkah itu tidak menjejaskan peluang kerja sebaliknya menawarkan kerjaya berkemahiran dan bergaji tinggi yang diperlukan pasaran global.
Jay Jay Denis berkata langkah pentadbiran mewujudkan Pusat Pembangunan Kemahiran dan Teknikal Selangor (STDC) membuktikan agenda perancangan Dato’ Seri Amirudin Shari di landasan tepat.
“Apabila bertemu pelabur, antara perkara pertama dimahukan ialah tenaga mahir, bukan hanya tawar peluang kerja. Ini antara punca negeri tekankan teknologi termasuk menubuhkan STDC.
“Selepas hampir tiga tahun, kita lihat kejayaan apabila STDC berjaya jalin kerjasama dengan syarikat terkemuka antaranya Apple, Dassault Systemes dan Festo. Tahun depan bakal bekerjasama dengan Google.
“Jadi AI dan teknologi moden ini bukan untuk menggantikan tenaga manusia sebaliknya tumpuan ini untuk bantu tingkatkan gaji terutama graduan universiti, Ini dapat mengimbangi antara keperluan rakyat dan masa depan,” katanya ketika menjadi panel program Dialog Shah Alam hari ini.
[caption id="attachment_676453" align="alignnone" width="903"] Peserta Forum Dialog Shah Alam "Memperkasa Ekonomi Rakyat: Jalan Menuju Kese ahteraan Sosial" di Unisel Shah Alam pada 5 Disember 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIA SELANGOR[/caption]
Berlangsung di Universiti Selangor dekat sini, Jay Jay berkata rancangan pembangunan dibuat Amirudin bakal menarik lebih banyak pelaburan termasuk luar negara sekali gus melonjakkan ekonomi negeri.
“Seawal 2018, Dato’ Menteri Besar melihat kemajuan bukan dalam sektor perniagaan sahaja tetapi merangkumi semua. Sebab itu beliau mahu meningkatkan lantai ekonomi serta memaksimakan peluang ekonomi.
Sementara itu, pengurus kanan (penyelidikan) Institut Darul Ehsan berkata pentadbiran perlu menumpukan aspek psikososial meski mencapai status negeri maju.
Khairul Ariffin Mohd Munir berkata berdasarkan situasi ketika ini, aspek berkenaan perlu diberi perhatian kerana ia melibatkan isu perpaduan, kesihatan mental dan emosi.
“Ini menyebabkan berlakunya kejadian bunuh diri. Antara puncanya ialah kesesakan jalan. Sebab itu kena tumpu atasi psikososial ini.
“Jangan hanya tumpu ekonomi tetapi aspek lain ketinggalan. Kena fokus untuk bagi seimbang dalam melonjakkan ekonomi di samping jaga elemen sosial,” katanya.