ad
AGENDA

Miliki tanah subur, Sultan mahu utara Selangor jadi hab makanan

5 Dis 2024, 4:51 AM
Miliki tanah subur, Sultan mahu utara Selangor jadi hab makanan
Miliki tanah subur, Sultan mahu utara Selangor jadi hab makanan

SHAH ALAM, 5 DIS: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor berharap bahagian utara negeri bermula dari Tanjong Karang ke Sabak Bernam, dapat dibangunkan sebagai hab makanan.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah ia kerana kawasan itu sesuai untuk pertanian dan tanaman seperti padi dan kelapa, yang harus diberikan tumpuan, lapor The Star.

“Tanah di sana subur untuk pertanian dan tanaman, jadi kita mesti tumpukan perkara ini. Sekinchan juga popular untuk itu, maka Sabak Bernam harus dibangunkan sebagai hab makanan,” titah Baginda.

Pada masa sama, Baginda turut berharap kawasan Hulu Selangor, yang bersempadan dengan Proton City di Perak, dapat dibangunkan termasuk membina pengangkutan awam yang lebih baik untuk rakyat.

[caption id="attachment_671042" align="alignleft" width="742"] Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan bertitah sempena Majlis Perisytiharan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) di Hotel Wyndham Acmar, Klang pada 5 Februari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI[/caption]

Baginda bertitah pihaknya juga pernah mencadangkan beberapa tahun lalu untuk membina sebuah zoo dengan konsep terbuka berhampiran kawasan tersebut sebagai tarikan baharu.

Ditanya sama ada Baginda berpuas hati dengan badan pelancongan negeri, Sultan Selangor berpendapat banyak lagi penambahbaikan yang boleh dibuat untuk meningkatkan sektor pelancongan.

"Kita tidak melihat pelancongan dengan serius sedangkan kita ada sumber alam semula jadi lain seperti getah, minyak sawit, timah, minyak dan gas (yang boleh menjana ekonomi),” titah Baginda.

Sultan Sharafuddin bertitah penting untuk menarik pelancong bernilai tinggi bagi merancakkan ekonomi tempatan, apatah lagi Selangor kaya dengan sejarah dan tarikan yang unik.

“Kita mempunyai banyak sejarah tetapi kita tidak memanfaatkannya. (Badan) pelancongan Selangor mesti melakukan sesuatu untuk menonjolkan aspek sejarah Selangor.

“Pelancongan bukan hanya bermaksud membeli-belah atau bangunan pencakar langit. Pelancong kini teruja untuk melihat alam sekitar seperti hutan dan alam semula jadi,”titah Baginda, sambil menambah Sarawak membuat kerja yang baik dalam mempromosikan pelancongan tempatan mereka.

Dalam pada itu, Baginda turut berkongsi pintu Istana Klang dibuka kepada orang ramai untuk mereka melawat atas permintaan dan mencecah lebih 25,000 pengunjung setakat ini.

“Beta menyimpan semua sejarah di sana, ia boleh mengambil masa sepanjang hari dan (masuk) adalah percuma,” kongsi Sultan Sharafuddin.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.