SHAH ALAM, 5 DIS: Seramai 23,957 murid terjejas banjir ditempatkan di pusat pemindahan banjir (PPS) susulan Monsun Timur Laut (MTL) sejak 5 November lepas.
Menteri pendidikan menjelaskan tiga negeri mempunyai bilangan tertinggi murid iaitu Kelantan dengan 17,873 orang diikuti Terengganu (3,893) dan Kedah (1,580).
Menurut Fadhlina Sidek, sebanyak 470 institusi pendidikan dijadikan sebagai PPS dalam tempoh sama melibatkan 392 sekolah rendah, sekolah menengah (77) dan kolej vokasional (satu).
“Tiga negeri tertinggi yang mempunyai sekolah yang dijadikan PPS adalah Kelantan iaitu 240 buah sekolah manakala Terengganu (137) dan Kedah (51),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) pada sesi pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Tambah Fadhlina, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menggerakkan Smart Support Team (SST) yang terdiri daripada sukarelawan guru bimbingan dan kaunselor terlatih bagi memberi sokongan emosi kepada murid di PPS.
“Selain itu, Academic Support Team (AST) turut dihantar untuk membantu murid meneruskan pembelajaran walaupun berada di PPS.
“KPM sentiasa memantau dari semasa ke semasa fenomena banjir ini demi menjaga kebajikan dan keselamatan warganya,” jelasnya.