ad
AGENDA

Sultan kecewa kes Faisal Halim lewat diselesaikan, desak tindakan segera

5 Dis 2024, 4:26 AM
Sultan kecewa kes Faisal Halim lewat diselesaikan, desak tindakan segera
Sultan kecewa kes Faisal Halim lewat diselesaikan, desak tindakan segera

SHAH ALAM, 5 DIS: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor mendesak penyelesaian segera kes serangan asid membabitkan pemain Selangor FC Muhammad Faisal Abdul Halim dan mengenal pasti pelakunya.

Dalam wawancara khas bersama The Star, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj turut menzahirkan kekecewaan terhadap kelewatan kes yang disifatkan Baginda sebagai "mudah dan jelas"

"Dengan media sosial dan teknologi moden, tiada apa yang boleh disembunyikan. Beta mengikuti kes ini dalam Dewan Negeri Selangor dan berharap ia dapat diselesaikan tidak lama lagi.

"Ini adalah kes yang jelas dan kejadian ini merosakkan kehidupan Muhammad Faisal," titah Baginda.

Pemain berusia 26 tahun itu melecur tahap empat pada beberapa bahagian tubuhnya selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali di luar sebuah pusat membeli-belah di Petaling Jaya pada 5 Mei.

[caption id="attachment_647755" align="aligncenter" width="748"] Pemain bola sepak Selangor FC Faisal Halim bercakap kepada media ketika sidang media khas di Pusat Latihan Selangor FC, Shah Alam pada 13 Jun 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI[/caption]

Ditanya sama ada Baginda percaya ada pihak tersembunyi di sebalik kes itu, Sultan Sharafuddin menjawab "ada sesuatu (seakan-akan) kawalan jauh", namun enggan menuduh mana-mana pihak.

"Dia (Faisal) seorang pemain yang baik dan Beta rasa dia seorang yang baik, tetapi Beta tidak tahu kenapa dia diserang. Polis mesti bertindak segera dalam perkara ini," titah Baginda.

Pada 29 November, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata siasatan kes itu masih diteruskan, dengan pihaknya menahan tiga individu dan merekodkan kenyataan 23 yang lain.

Namun, tiada bukti yang mengaitkan suspek dengan jenayah tersebut.

Pada 22 November, EXCO Sukan Najwan Halimi berkata Kerajaan Negeri masih belum menerima sebarang kemas kini daripada polis mengenai perkembangan siasatan.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.