ad
AGENDA

Sultan tegaskan tidak perkecil agama lain, hormati kepelbagaian kaum

5 Dis 2024, 4:00 AM
Sultan tegaskan tidak perkecil agama lain, hormati kepelbagaian kaum
Sultan tegaskan tidak perkecil agama lain, hormati kepelbagaian kaum

SHAH ALAM, 5 DIS: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj memberi amaran tegas kepada mana-mana pendakwah supaya tidak merendahkan agama lain.

Dalam temu bual eksklusif bersama The Star baru-baru ini, Baginda menyuarakan kebimbangan terhadap individu yang mencerca agama lain, terutama dalam platform media sosial.

“Di Instagram, sesetengah individu tampil dengan cara tertentu, contohnya berjambang tetapi apabila Beta memerhatikan tingkah laku mereka, mereka tidak sepatutnya merendahkan agama lain.

“Inilah sebabnya Beta sentiasa menekankan dalam khutbah Jumaat di seluruh Selangor tiada agama boleh diperkecilkan, namun boleh berkongsi perbezaan kepada orang ramai,” titah Baginda.

[caption id="attachment_675638" align="alignright" width="740"] Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan merasmikan persidangan Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor (DNS) Ke-14 di Bangunan Annex pada 13 Mac 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKIN[/caption]

Baginda turut mengingatkan rakyat Selangor kepentingan perpaduan dan sikap saling menghormati antara kepelbagaian kaum dan agama di Malaysia serta menolak amalan ekstremisme.

"Islam adalah agama rasmi dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia, tetapi hak semua kaum dan agama untuk mengamalkan agama mereka dijamin dalam Perlembagaan,” tambah Baginda.

“Beta tidak akan bertolak ansur dengan mereka yang mengeksploitasi agama untuk agenda peribadi. Beta akan memantau secara peribadi individu seperti ini."

Pada masa sama, Sultan Selangor turut berbangga terhadap kepelbagaian warisan budaya di Klang, yang memiliki banyak tempat ibadah berbagai agama di kawasan sekitar.

“Beta ingin memastikan kawasan tersebut kekal harmoni. Terdapat masjid, kuil Cina dan Hindu, tempat ibadah India Muslim, dan kini bahkan masjid Cina Muslim.

“Terdapat keharmonian di kawasan ini, yang mencerminkan penerimaan kami terhadap agama yang berbeza dalam negeri ini,” titah Sultan Sharafuddin.

Baginda juga menyatakan tiada masalah bagi pelancong mengunjungi masjid, malah mendiang Ratu Elizabeth II pernah meminta untuk melawat Masjid Negeri di Shah Alam ketika berada di Malaysia.

“Baginda menyatakan minat untuk melihat kubahnya, yang direka syarikat British,” kata Sultan Sharafuddin.

Lawatan Ratu Elizabeth II pada 1989 sebahagian daripada Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) ke-11. Baginda melawat masjid tersebut dan mengambil bahagian dalam pelbagai acara rasmi.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.