ad
BERITA UTAMA

Dialog Shah Alam subur wacana ilmu, sumbang idea majukan negeri

5 Dis 2024, 2:00 AM
Dialog Shah Alam subur wacana ilmu, sumbang idea majukan negeri
Dialog Shah Alam subur wacana ilmu, sumbang idea majukan negeri
Dialog Shah Alam subur wacana ilmu, sumbang idea majukan negeri
Dialog Shah Alam subur wacana ilmu, sumbang idea majukan negeri

Penganjuran Dialog Shah Alam bertujuan mengangkat Selangor sebagai peneraju utama yang mencorakkan wacana kontemporari melibatkan isu strategik antaranya keselamatan, pemanasan global, alam sekitar dan tekonologi.

Dianjurkan kali kedua, dialog ini menampilkan bekas Gabenor Bank Negara Malaysia YAD Tan Sri Muhammad Ismail. Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, pencetus idea ini yang bakal merasmikan wacana tersebut.

Muhammad akan mengupas tajuk Transformasi Ekonomi Malaysia: Perspektif Terhadap Globalisasi dan Perkembangan Geopolitik dalam Perdagangan, Pekerjaan dan Pendidikan.

Sebagai penganjur bersama wacana ini, Institut Darul Ehsan (IDE) dan Institut Penyelidikan Selangor (SRI) berharap wacana ini membuka perspektif rakyat terutamanya penjawat awam serta intelektual sekali gus menyumbang idea untuk memaju Selangor.

Wartawan Selangorkini ABDUL RAHIM SABRI menemu bual Pengarah Eksekutif IDE Amidi Abdul Manan dan Ketua Pegawai Eksekutif SRI Ammar Gazali mengenai dialog yang berlangsung di Dewan Pro-Canselor, Universiti Selangor (Unisel) Shah Alam.

[caption id="attachment_676391" align="alignleft" width="309"] Pengarah Eksekutif Institut Darul Ehsan (IDE) Amidi Abdul Manan[/caption]

Boleh huraikan bagaimana dan apakah tujuan utama Dialog Shah Alam?

AMIDI: Dialog Shah Alam merupakan inisiatif strategik anjuran Pejabat Menteri Besar Selangor dengan kerjasama Unisel, IDE dan SRI.

Program ini bertujuan menjadi platform perbincangan pelbagai pihak bagi membincangkan isu-isu kritikal dalam ekonomi, sosial dan geopolitik serta memberi input bernas kepada pembuat dasar.

Berlandaskan semangat inklusiviti dan kemakmuran bersama, program ini direka untuk mendalami cabaran yang dihadapi rakyat khususnya dalam konteks pembangunan ekonomi dan sosial yang mampan.

Dialog ini juga selaras dasar Kerajaan Selangor dan aspirasi Kerajaan Madani iaitu memastikan setiap lapisan masyarakat mendapat manfaat hasil pembangunan dan kesejahteraan yang lebih menyeluruh.

AMMAR: Idea untuk mengadakan Dialog Shah Alam bermula oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari sendiri di dalam ucapan belanjawan beliau. Acara ini bertujuan untuk menjemput tokoh-tokoh penting dalam dunia akademia, politik atau pengurusan untuk menyampaikan syarahan umum di hadapan pimpinan Kerajaan Selangor.

Sejauh manakah program ini menyumbang kepada pembangunan negeri dan rakyat keseluruhan?

AMIDI: Dialog Shah Alam menyumbang secara langsung kepada pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat melalui wacana yang menghasilkan idea dan pendekatan baharu untuk dasar Kerajaan Negeri.

Selangor, sebagai enjin ekonomi negara, mendapat manfaat daripada perbincangan ini dengan memperkukuh dasar seperti Inisiatif Peduli Rakyat, program perumahan mampu milik, serta bantuan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Dialog ini juga mendukung agenda Smart Selangor dan usaha pendigitalan ekonomi, sejajar prinsip Malaysia Madani yang mengutamakan pembangunan inklusif dan kelestarian alam. Perbincangan berasaskan fakta dan data ini membantu meningkatkan keberkesanan dasar yang dilaksanakan untuk memastikan manfaatnya dirasai rakyat pada pelbagai peringkat.

[caption id="attachment_676392" align="alignright" width="294"] Pegawai Eksekutif Institut Penyelidikan Selangor (SRI) Ammar Gazali[/caption]

AMMAR: Acara sebegini penting untuk menggalakkan perbincangan berkenaan idea-idea baru berkenaan dengan politik, ekonomi, pentadbiran, sosial dan agama.

Bagaimanakah pembuat dasar, ahli politik dan mahasiswa mendapat manfaat dari dialog ini?

AMIDI: Bagi pembuat dasar, dialog ini menyediakan landasan untuk mendengar pandangan pakar, mengenal pasti cabaran sebenar dan mengaplikasi hasil perbincangan ke dalam dasar yang lebih responsif dan proaktif. Ahli politik pula dapat memperkukuh hubungan dengan rakyat melalui pemahaman mendalam terhadap isu-isu akar umbi sekali gus memantapkan perkhidmatan mereka.

Mahasiswa mendapat peluang berharga untuk mendalami isu-isu nasional dan global yang memberi kesan kepada masa depan mereka. Dialog ini juga memupuk pemikiran kritis dan kesedaran sosial dalam kalangan generasi muda, selaras aspirasi Kerajaan Madani untuk membangun generasi pemimpin berwawasan dan berintegriti.

AMMAR: Golongan tersebut dapat mendengar dan berinteraksi dengan tokoh-tokoh yang hadir.

Sejauh manakah intipati perbincangan dialog dapat dihadami ke peringkat akar umbi?

AMIDI: Hasil perbincangan Dialog Shah Alam diterjemah ke peringkat akar umbi melalui pelaksanaan dasar dan program yang mesra rakyat. Sebagai contoh, pelbagai inisiatif seperti bantuan pendidikan, kesihatan, dan pemerkasaan komuniti diperkenal berdasarkan pandangan yang dibincangkan dalam dialog ini.

Kerajaan Negeri juga bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan, jabatan kerajaan, dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk memastikan mesej dialog sampai dengan cara yang mudah difahami dan bersifat praktikal. Ini membuktikan dialog ini bukan sekadar diskusi intelektual tetapi memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat.

AMMAR: Intipati perbincangan perlu diluaskan ke peringkat akar umbi melalui penulisan artikel dan juga video atau kandungan yang dapat ditularkan.

Memandangkan ia acara tahunan, apakah tema lain yang dikupas pada masa depan selain ekonomi?

AMIDI: Selain ekonomi, Dialog Shah Alam pada masa depan dijangka memberi tumpuan kepada tema-tema seperti kelestarian alam sekitar, pembangunan bandar pintar, inovasi teknologi dan pendidikan masa depan. Contohnya, tema berkaitan ekonomi hijau (green economy) sangat relevan dalam memastikan Selangor kekal sebagai negeri yang memacu agenda kelestarian sejajar aspirasi Kerajaan Madani.

Perbincangan juga boleh melibatkan isu-isu sosial seperti ketidaksamaan pendapatan, keadilan gender dan kepelbagaian budaya, yang semuanya penting dalam membangun masyarakat yang seimbang dan harmoni.

[caption id="attachment_627170" align="aligncenter" width="773"] Logo Google dan perkataan Kecerdasan Buatan AI dilihat dalam ilustrasi yang diambil pada 4 Mei 2023. Foto REUTERS[/caption]

AMMAR: Tema lain yang dapat diketengah pada masa hadapan adalah berkenaan kepintaraan cerdas (AI), dasar kelestarian dan teknologi hijau.

Sempena Kepengerusian Asean, apakah ada cadangan menjemput tokoh luar negara pada masa depan? Apakah topik yang relevan dan mengapa?

AMIDI: Sempena Kepengerusian Asean, terdapat cadangan untuk menjemput tokoh-tokoh luar negara termasuk pemimpin serantau, ahli ekonomi dan tokoh akademik global untuk memberi pandangan mereka. Topik-topik seperti integrasi ekonomi serantau, perdagangan bebas, teknologi masa depan, dan impak geopolitik dalam pembangunan Asean sangat relevan.

Selangor, sebagai pemacu ekonomi Malaysia, memainkan peranan penting dalam membina hubungan strategik dengan negara jiran. Topik-topik ini juga mencerminkan nilai persaudaraan global yang ditekan oleh Kerajaan Madani, mengukuhkan hubungan antarabangsa dan meningkatkan daya saing negara di peringkat global.

AMMAR: Kami akan menilai jika ada tokoh-tokoh yang sesuai untuk dibawa bagi membincangkan peranan Asean dan kedudukan Selangor sebagai negeri yang bercita-cita menjadi ‘Gateway to Asean’.

Apakah harapan penganjur terhadap keberkesanan dialog tersebut dalam memajukan negeri?

AMIDI: Harapan utama penganjur agar Dialog Shah Alam menjadi pemangkin kepada transformasi dasar yang lebih inklusif dan progresif di Selangor. Penganjur percaya dialog ini mampu menghasilkan pandangan dan strategi baharu untuk menangani cabaran masa kini, termasuk ketidaktentuan ekonomi global, perubahan iklim dan perkembangan teknologi.

Selangor diharap terus menjadi contoh negeri yang mengutamakan kesejahteraan rakyat tanpa mengabaikan kelestarian alam dan pembangunan ekonomi. Selaras aspirasi Kerajaan Madani, dialog ini juga diharapkan memperkukuh perpaduan rakyat, meningkatkan keberkesanan dasar dan memastikan setiap lapisan masyarakat mendapat manfaat secara menyeluruh.

AMMAR: Kami berharap melalui program ini akan meluaskan perspektif pemikiran para pimpinan politik dan pentadbiran awam negeri Selangor juga pada masa yang sama membantu mereka di dalam membuat polisi yang bersesuaian.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.