SHAH ALAM, 4 DIS: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM) bagi memperkasa ekonomi negeri melalui inisiatif Kawasan Pembangunan Sabak Bernam (SABDA), semalam.
MBI di Facebook berkata, kerjasama strategik ini bertujuan mewujudkan perkongsian dua hala berkaitan kepakaran, pengalaman, sumber dan pengetahuan antara kedua-dua pihak.
“Ia sekali gus untuk membangunkan serta meningkatkan peluang ekonomi dalam lingkungan SABDA.
“MBI Selangor akan bertindak sebagai pemudah cara bersama agensi-agensi Kerajaan Negeri manakala para penyelidik UiTM akan menjalankan kajian terperinci berkenaan SABDA,” katanya.
Menurutnya lagi, ilmu dan hasil kajian itu akan digunakan dalam penambahbaikan dan pembangunan berterusan pada projek SABDA sejajar dengan matlamat Rancangan Selangor Pertama (RS-1).