ad
AGENSI

LZS lancar kempen ‘Sama-Sama Kongsi’, galak umat Islam bayar zakat

4 Dis 2024, 8:37 AM
LZS lancar kempen ‘Sama-Sama Kongsi’, galak umat Islam bayar zakat

SHAH ALAM, 4 DIS: Lembaga Zakat Selangor (LZS) melancarkan kempen ‘Sama-Sama Kongsi’ sepanjang bulan ini bagi menggalakkan umat Islam segera menunaikan tanggungjawab berzakat.

Ketua Pegawai Operasinya Ahmad Fadhil Hassan berkata masyarakat diseru menyertai kempen tersebut sekali gus berpeluang memenangi hadiah menarik bernilai lebih RM60,000.

“Oleh itu, bagi memudahkan masyarakat menunaikan zakat sebelum 31 Disember, 18 cawangan LZS akan beroperasi tujuh hari seminggu termasuk Sabtu Ahad dan cuti umum.

“Menariknya, sempena kempen ini juga 10 pembayar terawal atau ‘Early Bird LZS’ bagi tempoh 1 hingga 6 Disember mereka berpeluang mendapat cenderahati eksklusif daripada kami,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas melancarkan Kempen Sama-Sama Kongsi LZS 2024 di ibu pejabat LZS, Seksyen 13 di sini hari ini.

Turut diadakan ialah “Kempen Start With Sepuluh” terbuka kepada pengeluar zakat baharu iaitu dengan hanya serendah RM10.

Kempen Jom Auto Zakat Bulanan pula terbuka kepada individu, peniaga dan syarikat yang mula mendaftar pembayaran zakat secara bulanan atau menambah caruman zakat menerusi saluran pembayaran terus dan potongan gaji.

Untuk sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut boleh melayari laman sesawang LZS menerusi Facebook, X, Instagram, TikTok dan YouTube dari semasa ke semasa.

Terdahulu, LZS turut menyalurkan bantuan zakat RM5.82 juta sempena pelancaran kempen ‘Sama-Sama Kongsi’.

Daripada jumlah itu, sumbangan Ithbat Hafazan menerima agihan terbesar iaitu RM3.56 juta diikuti Program Sekolah Angkat Zakat Selangor (RM1.87 juta) yang memberi manfaat kepada 60 sekolah.

Selain itu, tiga mahasiswa fakir dan miskin terima bantuan Dermasiswa Pengajian Tinggi RM198,308, peralatan dan bantuan baik pulih surau (RM140,800) dan empat asnaf menerima bantuan keseluruhan RM41,000.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.