ad
AGENDA

Ayob Khan: Rasuah punca negara rugi lebih RM40 bilion tiap tahun

4 Dis 2024, 5:41 AM
Ayob Khan: Rasuah punca negara rugi lebih RM40 bilion tiap tahun

SHAH ALAM, 3 DIS: Tindakan sesetengah badan kerajaan menyorokkan isu rasuah menjadi antara penyumbang ketirisan 30 peratus nilai tender setiap tahun dengan melibatkan kerugian antara RM40 bilion ke RM60 bilion.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata disebabkan sikap itu disamping rasa simpati, kasihan atau malu, kerajaan terpaksa menanggung kerugian mencecah RM227 bilion sepanjang 2018 hingga tahun lalu.

“Setiap tahun laporan audit ada ketirisan tender. Jadi berapa banyak kerugian kita? Masih berlaku sebab kita ada tindakan tetapi tak ada ketegasan. Dalam isu kerajaan, kita nak tutup, tak nak ambil tindakan.

“Kita bersimpati, kesian, takut. Istilah sesuai kita tak nak buka pekung di dada. Sebab itu adalah lagi masalah sampai sekarang. Bila salah, ambil tindakan baru kita dapat tangani, kurangkan (kes rasuah).

“Kalau tidak, kita hanya bercakap, retorik tetapi tindakan ketegasan tak ada. Jadi jangan takut. Kena berani supaya jenayah ini dihapuskan,“ katanya ketika menjadi penceramah pada majlis simposium tadbir urus korporat kumpulan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI hari ini.

Program anjuran beberapa anak-anak syarikat antaranya Media Selangor Sdn Bhd, SSDU Innovations Sdn Bhd, Kumpulan Perangsang Selangor dan Kumpulan Hartanah Selangor Berhad dihadiri Ketua Pegawai Ekskeutif MBI Saipolyazan M Yusop.

Ayob berkata ketika ini Malaysia ditangga ke-50 dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) dan menjangkakan berada pada kedudukan ke-25 dalam tempoh 10 tahun akan datang.

“Insya-Allah kita dapat capai kalau semua peringkat dari atas (pemimpin) hingga bawah, golongan politik, penjawat awam, swasta memainkan peranan. Kalau sama-sama kita boleh ada di tangga ke-25.

“Kalau kita dapat tekankan, saya yakin negara, agensi penguatkuasa atau penjawat awam kita akan bergerak jauh ke depan. Kita ketinggalan daripada beberapa negara lain disebabkan punca integriti,” katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.