SHAH ALAM, 4 DIS: Masalah kesihatan mental dalam kalangan pelajar sekolah dan mahasiswa institusi pengajian tinggi (IPT) meningkat dari 424,000 pada 2019 kepada 922,318 tahun lalu.
Timbalan Menteri Kesihatan Dato Lukanisman Awang Sauni berkata peningkatan kira-kira dua kali ganda itu, berdasarkan Laporan Tinjauan Kesihatan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) melibatkan kumpulan umur kanak-kanak, remaja dan belia.
Menurut Lukanisman, dapatan NHMS juga menunjukkan peningkatan prevalen tingkah laku bunuh diri dalam tempoh 10 tahun.
“Idea bunuh diri dalam kalangan remaja menunjukkan peningkatan daripada 7.9 peratus pada 2012 kepada 13.1 peratus (2022). Selain itu rancangan bunuh diri meningkat daripada 6.4 peratus pada 2012 kepada 10 peratus pada 2022.
“Bagi cubaan cubaan bunuh diri, peningkatan turut direkodkan daripada 6.8 peratus pada 2012 kepada 9.5 peratus pada 2022,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Ledang Syed Ibrahim Syed Noh mengenai statistik isu kesihatan mental melibatkan pelajar sekolah dan mahasiswa institusi pengajian tinggi.
Mengulas lanjut, Lukanisman berkata Kementerian Kesihatan serius menangani isu itu, termasuk menubuhkan Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan dan membangunkan Pelan Tindakan Kesihatan Mental Kanak-Kanak dan Remaja yang akan dilancar menjelang tahun depan.
“Perkhidmatan talian bantuan krisis kesihatan mental iaitu Talian HEAL 15555 (Help with Empathy and Love) turut disediakan.
“Selaian itu, pelaksanaan Program Minda Sihat Sekolah kerjasama antara Kementerian Kesihatan dan Kementerian pendidikan di 2,456 sekolah menengah dan 7,776 sekolah rendah,” katanya.
Menurutnya Kementerian Kesihatan turut menyediakan perkhidmatan kesihatan mental yang boleh diakses di 1,088 Klinik Kesihatan, 68 hospital, dan 37 Pusat Kesihatan Mental Masyarakat (Mentari) selain penempatan 200 Pegawai Psikologi (Kaunseling) kontrak untuk perkhidmatan (CFS) di daerah dan Klinik Kesihatan.
“Usaha meningkatkan bilangan pakar psikiatri kanak-kanak dan remaja kepada 30 pakar menjelang 2027 giat dijalankan. Setakat ini terdapat 18 pakar psikiatri kanak-kanak dan remaja ditempatkan di hospital Kementerian Kesihatan,” katanya.
Menjawab soalan Ahli Parlimen Gopeng Tan Kar Hing mengenai strategi sokongan mental kepada mereka yang bekerja dalam persekitaran tekanan tinggi seperti kakitangan kesihatan, katanya masalah kesihatan mental di tempat kerja sentiasa menjadi keutamaan Kementerian Kesihatan.
Katanya, Kementerian Kesihatan menyediakan perkhidmatan kesihatan mental yang mudah diakses melalui beberapa inisiatif seperti perkhidmatan saringan kesihatan mental, MyMinda dalam Aplikasi MySejahtera yang memberikan perkhidmatan secara digital merangkumi saringan kesihatan mental, psiko pendidikan dan tips penjagaan kendiri.