SHAH ALAM, 4 DIS: Setiap jabatan sama ada badan kerajaan atau swasta perlu kompeten menjalankan tanggungjawab, sekali gus memberi kesan positif kepada tadbir urus.
Ketua pegawai eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan ) atau MBI berkata organisasi turut berperanan mengambil langkah pencegahan serta pemulihan pada sebarang isu supaya tidak timbul ancaman yang boleh merugikan.
“Kita tidak mahu ada jabatan yang tidak menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan sebaiknya sehingga merosakkan fungsi sendiri.
“Kemudian menjejaskan komponen-komponen lain dan akhirnya melumpuhkan terus organisasi. Perkara seperti disaman, disita, disoal siasat, ditutup terus adalah hal yang tidak mahu terjadi sama sekali,” kata Saipolyazan M Yusop.
[caption id="attachment_676259" align="aligncenter" width="655"] Timbalan Ketua Polis Negara Dato' Seri Ayob Khan Mydin Pitchay (tengah) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor Pemerbadanan (MBI), Ts. Saipolyazan M Yusop ketika hadir pada Program Simposium Tadbir Urus Korporat Kumpulan MBI 2024 di Courtyard by Marriott Setia Alam pada 04 Disember 2024 di Dewan Negeri Selangor. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]
Beliau berucap ketika majlis simposium tadbir urus korporat kumpulan MBI anjuran bersama anak syarikat antaranya Media Selangor Sdn Bhd, SSDU Innovations Sdn Bhd, Kumpulan Perangsang Selangor, Kumpulan Hartanah Selangor Berhad dan Koridor Utiliti Selangor hari ini.
Saipolyazan berkata menerusi program berkenaan, kakitangan anak syarikat didedahkan tentang kepentingan tatakelola dalam tadbir urus, disampaikan beberapa individu berpengalaman antaranya Timbalan Ketua Polis Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.
“Kita mahu tunjukkan betapa pentingnya tatakelola dan tindakan diambil terhadap mereka yang salah guna kuasa dan kedudukan. Kita mahu tanah akan betapa pentingnya integriti sebab kesannya besar jika tidak amanah,” katanya.
Melibatkan kira-kira 250 peserta dari kalangan anak syarikat, simposium berkenaan merangkumi beberapa sesi pembentangan.
Selain Ayob, majlis menampilkan wakil beberapa badan antaranya Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Suruhanjaya Persaingan Malaysia dan Institut Juruaudit Dalaman Malaysia.