ad
AGENDA

Warga Malaysia di Korea Selatan dinasihat ambil langkah keselamatan

4 Dis 2024, 2:23 AM
Warga Malaysia di Korea Selatan dinasihat ambil langkah keselamatan

PUTRAJAYA, 4 DIS: Rakyat Malaysia yang menetap atau melawat Korea Selatan dinasihatkan supaya mengambil langkah berjaga-jaga dan sentiasa mengikuti panduan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan, menurut Kementerian Luar Negeri.

Kementerian dalam satu kenyataan pada Rabu memaklumkan situasi di Korea Selatan kembali normal selepas undang-undang tentera ditarik balik di seluruh negara.

"Bagi memastikan maklumat terkini dan bantuan tepat pada masanya, rakyat Malaysia di Korea Selatan dinasihatkan untuk mendaftar melalui E-Konsular," menurut kenyataan itu.

Bagi mereka yang memerlukan bantuan konsular, Kedutaan Malaysia di Seoul boleh dihubungi di alamat 129, Dokseodang-ro Hannam-dong, Yongsan-gu, Seoul 04419, atau melalui talian +82-2-2077 8600 atau +82-2-794 5488, atau menerusi e-mel [email protected].

Kementerian akan terus memantau keadaan dengan teliti, menurut kenyataan itu.

Terdahulu, Agensi Berita Yonhap melaporkan Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol mengumumkan penamatan undang-undang tentera awal pagi Rabu, selepas Dewan Negara meluluskan usul bagi menuntut penamatannya.

Kabinet meluluskan usul terbabit pada 4.30 pagi (waktu tempatan), kira-kira enam jam selepas Yoon mengisytiharkan undang-undang tentera itu dengan alasan pihak pembangkang "melumpuhkan" kerajaan melalui aktiviti anti-negara.

Keputusan itu menimbulkan kebimbangan di dalam dan luar negara.

Ketua Turus Bersama mengesahkan bahawa pasukan yang dikerahkan untuk melaksanakan undang-undang tentera telah kembali ke pangkalan masing-masing, memulihkan keadaan seperti sediakala.

-- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.