KLUANG, 3 DIS: Suri rumah ditahan kerana disyaki mendera anak perempuannya berusia 10 tahun dengan menyimbah air panas sehingga mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan parah di Kampung Tengah, di sini.
Ketua Polis Daerah Kluang ACP Bahrin Mohd Noh berkata suspek berusia 32 tahun itu ditahan di sebuah rumah di kampung itu jam 12.15 tengah malam semalam.
"Polis dimaklumkan berhubung kejadian itu oleh guru besar sekolah mangsa Khamis lalu, selepas seorang pelajar perempuan didapati disimbah air panas sehingga menyebabkan kesan melecur teruk di bahagian belakang badan.
"Pemeriksaan lanjut oleh pengadu turut mendapati terdapat kesan lebam di kaki kanan dan pipi kiri serta kesan lecur di kaki kiri kanak-kanak tersebut," katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Beliau berkata pemeriksaan lanjut di hospital mengesahkan mangsa mengalami kecederaan akibat penderaan yang didakwa dilakukan ibu kandungnya.
“Kesan kecederaan termasuk luka lecur mula sembuh di bahagian belakang badan,” katanya.
Katanya suspek ditahan reman enam hari bermula hari ini sehingga Ahad dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
- BERNAMA