PUTRAJAYA, 3 DIS: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya mengutip hasil RM61.35 bilion setakat semalam, melepasi sasaran kutipan hasil tahun ini sebanyak RM56 bilion yang ditetapkan Kementerian Kewangan.
Ketua Pengarah Kastam Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata pencapaian itu turut melepasi sasaran awal semakan semula pada 18 Oktober lalu iaitu RM61.17 bilion.
"Setakat 2 Disember 2024, JKDM berjaya mencatatkan kutipan hasil RM61.35 bilion, iaitu lebihan RM5.35 bilion bersamaan dengan 109.55 peratus berbanding unjuran asal RM56 bilion," katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Anis Rizana berkata setakat 30 November lalu, JKDM mencatat kutipan hasil RM60.96 bilion berbanding RM51.95 bilion bagi tempoh sama tahun lepas, menunjukkan prestasi peningkatan hasil RM9.01 bilion bersamaan dengan 17.34 peratus.
Beliau berkata JKDM juga berjaya mematahkan cubaan menyeludup dan menyeleweng duti atau cukai kastam sebanyak 6,708 kes, setakat semalam.
"Kes ini melibatkan sitaan pelbagai jenis barangan termasuk cukai bernilai RM1.532 bilion. Ia menunjukkan peningkatan 73.26 peratus, iaitu RM647.82 juta berbanding tempoh sama pada 2023," katanya.
Anis Rizana berkata lima komoditi utama yang mencatatkan nilai rampasan tertinggi bagi tempoh Januari hingga 2 Disember ialah kenderaan, dadah, rokok, minuman keras dan tekstil.
Pencapaian membanggakan itu katanya, ialah hasil reformasi dalam jabatan termasuk digitalisasi dalam urusan perkastaman dan penggunaan mesin pengimbas dengan ciri kecerdasan buatan (AI).
Beliau berkata JKDM akan mengekalkan momentum itu agar pencapaian mampan dicapai menerusi strategi bersifat berkekalan demi menyumbang kepada kemakmuran dan pembangunan negara.
- BERNAMA