ad
AGENDA

Sistem e-halal Jakim diperkemas, pastikan kualiti terjamin, diyakini

3 Dis 2024, 10:29 AM
Sistem e-halal Jakim diperkemas, pastikan kualiti terjamin, diyakini

SHAH ALAM, 3 DIS: Sistem e-halal yang dilaksana Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan diperkemas bagi kelancaran pemberian sijil halal, kata timbalan menteri agama.

Senator Zulkifli Hasan berkata sistem e-halal 2.0 itu akan dilaksana secara menyeluruh supaya dapat melindungi dan meyakini sijil halal di Malaysia.

"Kita telah laksana sistem e-halal dan akan perkasakan secara menyeluruh, ini akan mempercepat pemberian sijil halal selain memastikan kualitinya terus terjamin dan diyakini.

"Dalam pada itu, dengan penambahan juruaudit halal yang dibentang dalam Belanjawan 2025 dapat menambah baik ekosistem halal supaya aspek pensijilan dilaksana secara berkesan," katanya menjawab soalan wakil rakyat Rompin, Dato' Abdul Khalib Abdullah berhubung mekanisme sijil halal di Parlimen hari ini.

Terdahulu, beliau memaklumkan Jakim mengadakan kerjasama strategik dan libat urus bersama agensi dan persatuan berkaitan dalam usaha meningkatkan sijil pengesahan halal bagi produk bukan makanan seperti kosmetik, farmaseutikal dan barang gunaan.

Katanya, antara agensi terlibat yang membantu dalam meningkatkan permohonan pensijilan halal Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) dan Persatuan Pemandu Pelancong Malaysia (MTGA).

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.