SHAH ALAM, 3 DIS: Google dijangka membina pusat data keduanya di Elmina Business Park (EBP) dengan nilai pelaburan RM4 bilion hingga RM5 bilion, lapor Berita Harian.
Penganalisis RHB Research, Loong Kok Wen, berkata anggaran pelaburan itu berdasarkan kapasitinya yang mungkin mencecah sekitar 200 hingga 250 megawatt (MW), mengikut saiz tanah dan jumlah nilai sewaan.
"Disamping pelaburan RM1.5 bilion hingga RM2 bilion untuk Fasa 1 (daripada kira-kira 100 MW), Google melaburkan sejumlah RM5.5 bilion hingga RM7 bilion dalam EBP.
“Hal ini mendorong keyakinan untuk prospek pertumbuhan EBP, dan patut menarik lebih ramai syarikat pembuatan untuk menubuhkan kemudahan pengeluaran mereka di kawasan ini," katanya menerusi nota penyelidikan, hari ini.
Kok Wen menambah, EBP berjaya menarik minat banyak industri sampingan dalam rantai bekalan pusat data seperti pembuatan menara penyejuk selain menjangkakan perbandaran Elmina akan terus berkembang pesat.
"Kami menjangka EBP dan perbandaran Elmina akan terus menjadi penyumbang jualan hartanah yang besar (ketika ini merangkumi 20 hingga 25 peratus jualan hartanah tahunan Sime Darby Property Bhd) pada tahun-tahun akan datang," katanya.
Semalam, Sime Darby Property mengumumkan perjanjian bina dan sewa baharu yang ditandatangani dengan Pearl Computing Malaysia (Google) untuk sebuah lagi kemudahan pusat data yang akan dimajukan di tapak seluas 77 ekar di EBP.
Kemudahan kedua ini terletak berhampiran dengan pusat data Google yang pertama, yang sedang dibina selain disasarkan siap pada 2027.
Pada Mei lalu, Google mengumumkan akan membangunkan pusat data pertama di Malaysia di EBP, dengan pelaburan sebanyak RM9.4 bilion, yang dijangka siap pada 2026.
Pelaburan itu dijangka bakal menawarkan sehingga 26,500 peluang pekerjaan meliputi pelbagai sektor, termasuklah kesihatan, pendidikan dan kewangan.