ad
AGENDA

Kadar maksimum tambang penerbangan musim perayaan dilanjut kepada empat hari

3 Dis 2024, 7:28 AM
Kadar maksimum tambang penerbangan musim perayaan dilanjut kepada empat hari

SEPANG, 3 DIS: Kerajaan melanjutkan pemberian subsidi bagi menjayakan inisiatif kadar tambang penerbangan maksimum berjumlah RM499 pada musim perayaan daripada tiga kepada empat hari bermula Krismas ini.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata inisiatif itu terpakai bagi perayaan pada tahun hadapan untuk penerbangan antara Semenanjung ke Sabah dan Sarawak.

"Kerana kita menjangkakan lebih ramai balik pada hujung minggu, jadi empat hari ini (sebelum tarikh perayaan) akan diberikan bantuan subsidi iaitu kita menetapkan kadar maksimum untuk syarikat penerbangan.

"Ini sudah tentunya memberikan kemudahan dan juga satu harga tambang yang lebih kompetitif dan lebih baik buat penumpang. Kita harap lebih ramai rakyat Malaysia mendapat manfaat daripada inisiatif ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran kadar tambang tetap AirAsia bagi perayaan Tahun Baru Cina di AirAsia RedQ di sini hari ini.

Loke berkata pelanjutan inisiatif itu melibatkan tambahan pembelanjaan kerajaan dan dianggarkan menelan kos sebanyak RM20 juta.

Beliau berkata Kementerian Kewangan memperuntukkan RM48 juta kepada Kementerian Pengangkutan untuk menjayakannya serta inisiatif FlySiswa.

"Secara purata, subsidi untuk setiap kerusi bagi seorang penumpang ialah RM406. Bagi tahun ini, kita membelanjakan hampir RM12.5 juta,"

“Kerajaan Malaysia mengambil langkah ini sebagai intervensi untuk menetapkan harga tiket (tiket penerbangan) semasa musim perayaan. Kita sedia maklum kadangkala harga tiket melambung naik kerana ia berdasarkan mekanisme harga dinamik,” katanya.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.