ad
AGENDA

Kebolehpasaran pelajar pendidikan khas capai 93 peratus tahun ini

3 Dis 2024, 7:21 AM
Kebolehpasaran pelajar pendidikan khas capai 93 peratus tahun ini

KUALA LUMPUR, 3 DIS: Kadar kebolehpasaran murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK) telah mencapai 93 peratus pada tahun ini, kata Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh.

Beliau berkata ini meliputi MBPK yang melanjutkan pelajaran atau memasuki dunia pekerjaan selepas tamat sekolah.

“Bagi memastikan kadar itu konsisten, Kementerian Pendidikan (KPM) telah bekerjasama dengan syarikat swasta dan agensi kerajaan untuk memberi peluang golongan berkenaan menceburi pelbagai kerjaya, mengikut kebolehan dan minat masing-masing,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Datuk A. Kesavadas yang ingin tahu sama ada KPM bekerjasama dengan pihak berkepentingan untuk memupuk pembelajaran inklusif pendidikan khas.

Menjawab soalan asal Senator Isaiah D. Jacob mengenai jumlah sekolah yang masih tidak mesra kanak-kanak Orang Kurang Upaya (OKU), Wong berkata setakat 21 Nov lepas, sebanyak 33.7 peratus atau 2,405 daripada 7,147 sekolah yang mempunyai murid berkeperluan khas, telah dilengkapi dengan kemudahan mesra OKU.

Beliau berkata KPM pada tahun ini memperuntukkan RM13.6 juta kepada 616 sekolah di seluruh negara untuk penyediaan kemudahan mesra OKU sebagai sebahagian daripada program pemerkasaan kualiti pendidikan untuk murid berkeperluan pendidikan khas yang diperkenalkan dalam Inisiatif Belanjawan 2024.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.