SHAH ALAM, 2 DIS: Projek Wilayah Pembangunan Bersepadu di Selangor Selatan (IDRISS) menjadi pemangkin utama kepada pertumbuhan ekonomi di kawasan berkenaan.
EXCO pelaburan di Facebook memaklumkan Kerajaan Negeri menawarkan pelbagai insentif untuk merangsang penglibatan pelabur dan pemaju melalui projek itu.
Menurut Ng Sze Han, antara insentif tersebut adalah bayaran ansuran caj pemajuan tanpa faedah serta pengecualian bayaran lesen perniagaan selama lima tahun.
Selain itu, katanya, penjimatan premium tanah melalui Insentif Skim Premium Khas dan diskaun sebanyak 50 peratus kadar cukai tanah serta bangunan kosong hingga tiga tahun.
Tambahnya, melalui sembilan projek aktif sedang dijalankan, IDRISS bakal memperkukuhkan daya saing negeri melalui pelaksanaan projek strategik yang dirancang di kawasan itu.
"Langkah ini membuktikan komitmen Kerajaan Negeri dalam menyediakan pakej pelaburan yang komprehensif bagi menarik minat pelabur tempatan dan asing,
“Ia sekaligus menyumbang kepada pembangunan mampan dan peningkatan taraf hidup rakyat Selangor,” ujar Sze Han.
IDRISS membabitkan pembangunan seluas lebih 16,000 hektar untuk memastikan agihan saksama bagi aktiviti ekonomi negeri selain mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.
Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata IDRISS di Sepang dan Kuala Langat bakal membuka hab pelaburan dan kawasan perindustrian baharu di negeri ini di bawah Rancangan Selangor Pertama (RS-1).
Projek pembangunan dicadang seperti sektor perindustrian, perkhidmatan logistik dan pergudangan, pelabuhan, perniagaan, perumahan, pelancongan dan pendidikan.