ad
PBT

Elak banjir kilat, MBDK pantau sistem saliran kawasan berisiko

2 Dis 2024, 8:03 AM
Elak banjir kilat, MBDK pantau sistem saliran kawasan berisiko
Elak banjir kilat, MBDK pantau sistem saliran kawasan berisiko

KLANG, 2 DIS: Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) memantau sistem saliran di setiap kawasan berisiko banjir terutama ketika Monsun Timur Laut (MTL).

Datuk Bandar Klang Dato’ Abd Hamid Hussain berkata saliran di kawasan berkenaan perlu dibersihkan agar tidak menghalang laluan air sekali gus mengakibatkan banjir kilat.

"Kerajaan Negeri telah beri arahan kepada semua pihak berkuasa tempatan, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Kerja Raya untuk memastikan sistem saliran diselenggara dengan baik sepanjang MTL.

"Oleh itu, MBDK akan memantau memastikan sistem saliran dibersihkan supaya tiada halangan air ke sungai. Kita juga akan bekerjasama dengan semua pihak termasuk KDEB Waste Management (KDEBWM) dan buat pelarasan agar isu banjir ditangani atau paling tidak dapat dikurangkan," katanya.

Ditemui selepas majlis angkat sumpah sebagai datuk bandar Klang baharu, Abd Hamid memaklumkan pihaknya akan meneliti projek pembinaan kolam takungan yang boleh membantu mengurangkan bencana banjir.

[caption id="attachment_675980" align="alignnone" width="817"] Dato’ Abd Hamid Hussain mengangkat sumpah sebagai Datuk Bandar Klang kedua di Dewan Mesyuarat Raja Mahadi, Bandar Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) pada 2 Disember 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIA SELANGOR[/caption]

"Kita perlu lihat kolam takungan ini di bawah tanggungjawab siapa sama ada MBDK, JPS atau pemaju... jadi akan cuba koordinasi bagi memastikan pembinaannya diatasi dengan segera.

"Oleh itu, saya akan dapatkan maklumat segera dan menyusun strategi untuk melihat kolam takungan ini bawah peruntukan MBDK, JPS atau pemaju supaya diselesaikan," katanya.

Sebelum ini, EXCO pengurusan bencana memaklumkan sebanyak 354 kawasan seluruh Selangor dikenal pasti berisiko mengalami banjir dengan Klang mencatatkan 77 kawasan paling banyak setakat ini.

Jelas Mohd Najwan Halimi, 55 lokasi di Hulu Langat dikesan berisiko berlaku bencana itu, Petaling (52), Kuala Selangor (43), Sepang (42) diikuti Gombak (35), Kuala Langat (27), Hulu Selangor (12) dan Sabak Bernam (11).

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.