ad
SELANGOR

Naib canselor Unisel terima anugerah gelaran profesor emeritus

2 Dis 2024, 7:10 AM
Naib canselor Unisel terima anugerah gelaran profesor emeritus

SHAH ALAM, 2 DIS: Presiden dan Naib Canselor Universiti Selangor (Unisel) Profesor Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman menerima penganugerahan gelaran profesor emeritus dari Universiti Malaya (UM) semalam.

Pengarah Komunikasi Korporat Unisel memaklumkan penganugerahan pada Istiadat Konvokesyen UM kali ke-64 itu bagi menghargai sumbangan beliau kepada universiti dan negara terutama dalam bidang sejarah serta politik dalam dan luar negara terutama sekali Timur Tengah.

"Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada Profesor Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman, di atas penganugerahan gelaran 'profesor emeritus'.

"Semoga penganugerahan ini akan menjadi nilai tambah untuk membawa Unisel ke arah kecemerlangan dan terus berdaya saing," tulis Hasril Abu Hassan di Facebook.

Mohammad Redzuan yang dilantik sebagai presiden dan naib canselor ketujuh Unisel sejak 2016 sehingga kini turut menjadi pengerusi Eksekutif Institut Darul Ehsan (IDE) dan Ahli Lembaga Pengarah Unisel Sdn Bhd.

Beliau juga merupakan Ahli Lembaga Pengarah Industri Pendidikan Negeri Selangor (INPENS) dan Ahli Panel Majlis Perundingan Islam (MPI)

Malah Mohammad Redzuan dilantik sebagai Ahli Panel Jawatankuasa Pemilihan Calon Pesuruhjaya Manusia yang baharu dalam Suruhanjaya Bebas Tetap Hak Asasi Manusia selain memegang beberapa jawatan penting lain.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.