ad
AGENSI

PNSB-syarikat China perkukuh rantaian bekalan makanan, tingkat kecekapan perdagangan

2 Dis 2024, 6:55 AM
PNSB-syarikat China perkukuh rantaian bekalan makanan, tingkat kecekapan perdagangan

SHAH ALAM, 2 DIS: Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) menjalin kerjasama dengan syarikat dari China bagi memperkukuh infrastruktur rantaian bekalan makanan dan meningkatkan kecekapan perdagangan.

Agensi itu memaklumkan, pihaknya memeterai Memorandum Kolabarasi (MoC) Sunhola Group Co Ltd dan Skyvast Sdn Bhd bagi mewujudkan rantaian bekalan makanan yang stabil dan mampan dengan tumpuan kepada pemerolehan, pemprosesan, logistik dan pemborongan.

Selain itu, PNSB turut memeterai MoC dengan Hebei Logistics Group Metal Materials Co Ltd dan Skyvast Sdn Bhd bertujuan meningkatkan kecekapan perdagangan dan memperkukuhkan hubungan ekonomi antara Malaysia dan China.

“MoC ini merangkumi rancangan mewujudkan kerjasama rantaian bekalan jangka panjang dan stabil melibatkan pemerolehan, logistik dan pengedaran.

“Ia juga bertujuan mencipta peluang pelaburan bersama dengan memanfaatkan kepakaran setiap pihak dalam bidang perdagangan, logistik dan pengurusan sumber,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Menurut PNSB kerjasama dan inisiatif strategik itu menandakan gabungan kekuatan dan kepakaran yang pelbagai menjanjikan dampak besar kepada ekonomi Malaysia, landskap pelaburan dan pembangunan secara keseluruhan.

“Pihak yang terlibat akan memanfaatkan kepakaran masing-masing untuk menilai dan menentukan daya maju projek yang dicadangkan dengan meneroka pelbagai pertimbangan teknikal, kewangan, perundangan dan operasi secara menyeluruh,” katanya.

Katanya, kedua-dua perjanjian ditandatangani pada penganjuran program Selangor (Malaysia) & Hebei (China) Trade Mission 2024 sempena lawatan delegasi kerajaan wilayah Hebei serta pemimpin perniagaan ke Selangor pada 26 November lalu.

Majlis menandatangani perjanjian disaksikan Setiausaha Kerajaan Negeri merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah PNSB Dato’ Setia Haris Kasim dan EXCO Pelaburan Ng Sze Han.

Selain itu Kaunselor Tahap II Jabatan Perdagangan Wilayah Hebei dan Ketua Delegasi Kerajaan Wilayah Hebei Li Dongliang dan Pengerusi Skyvast Shawn Tan.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.