SHAH ALAM, 2 DIS: Jabatan Pendidikan Negeri Selangor mengenal pasti asrama sesuai bagi menempatkan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sekiranya mereka terjejas banjir ketika peperiksaan.
Pengarahnya Dr Jafri Abu berkata pemilihan asrama tertumpu kepada kawasan yang diramal dinaiki air berdasarkan data agensi terlibat.
“Hari ini bermula ujian bertutur. Setakat ini tiada calon SPM yang terjejas dan mereka yang tinggal di pusat pemindahan sementara Sekolah Kebangsaan Sungai Binjai, Meru juga sudah pulang.
“Segala tindakan nanti mengikut tatacara operasi piawaian (SOP) kementerian. Semalam kita sudah berbincang dengan pengurusan tertinggi berhubung perkara ini,” katanya kepada SelangorKini.
Semalam Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata pihaknya sudah mengeluarkan arahan supaya semua calon SPM terjejas akibat banjir berpindah ke asrama disediakan.
Beliau berkata pihaknya sedang berunding dengan ibu bapa supaya membenarkan anak mereka ditempatkan di asrama bagi memudahkan urusan sepanjang peperiksaan berjalan.
Seramai 402,956 calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPM 2024, dengan ujian bertutur Bahasa Melayu bermula hari ini hingga Khamis.
Calon akan menjalani ujian bertulis mulai 2 Januari hingga 6 Februari tahun depan.