ad
BERITA UTAMA

Dana RM700,000 taja baucar buku, latihan industri kepada mahasiswa

1 Dis 2024, 1:35 PM
Dana RM700,000 taja baucar buku, latihan industri kepada mahasiswa
Dana RM700,000 taja baucar buku, latihan industri kepada mahasiswa

SHAH ALAM, 1 DIS: Kerajaan Negeri Selangor melalui Yayasan Selangor menyediakan dana berjumlah RM700,000 bagi pelaksanaan pemberian e-baucar buku secara percuma dan tawaran pembiayaan latihan industri kepada mahasiswa.

Yayasan Selangor memaklumkan usaha itu demi meningkatkan kualiti pendidikan dan memberi peluang lebih baik kepada mahasiswa negeri menanggung kos dan keperluan sepanjang tempoh pengajian.

"Pemberian e-baucar buku ini merupakan inisiatif Kerajaan Negeri untuk menyantuni golongan mahasiswa dengan tekad untuk membentuk ekosistem pendidikan negeri yang mapan.

"Bantuan ini bertujuan untuk meringankan beban mahasiswa Selangor untuk membeli bahan bacaan pengajian sekali gus memupuk minat mahasiswa untuk membaca buku-buku ilmiah," katanya dalam kenyataan.

Menurut Yayasan Selangor, mahasiswa yang menerima baucar tersebut boleh menebus di Pesta Buku Antarabangsa Selangor yang bermula sejak 27 November lalu selain menebus secara dalam talian di laman sesawang Bookcapital.com.my.

Selain itu, ia berkata pihaknya turut diamanah menerajui Program Selangor Internship Student Programme (SISPRO) yang merupakan program pembiayaan latihan industri kepada mahasiswa negeri.

"Usaha ini merupakan inisiatif untuk menjaga kebajikan mahasiswa anak Selangor yang akan menjalankan program latihan industri bagi melengkapkan syarat kursus pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda di institusi pengajian tinggi awam dan swasta seluruh negara.

"Program ini juga merupakan salah satu intipati daripada teras pendidikan dalam Belanjawan Selangor 2024 yang dibentangkan Dato’ Menteri Besar yang mana dana RM300,000 diperuntukkan pada tahun ini," katanya.

[caption id="attachment_675899" align="alignnone" width="873"] Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari (tiga, kiri) merasmikan majlis penutup Sidang Kemuncak Pendidikan Selangor(SES) 2024 di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam pada 1 Disember 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR[/caption]

Hari ini, Dato’ Seri Amirudin Shari melancarkan kedua-dua program berkenaan bersempena Majlis Penutup Sidang Kemuncak Pendidikan Selangor (SES) di Pusat Konvensyen Setia City, Setia Alam, di sini.

SES yang julung kali dianjur menghimpunkan empat ekspo utama iaitu Pesta Buku Antarabangsa Selangor, Ekspo Penyelidikan dan Inovasi Selangor, Ekspo STEM Selangor serta Worldskills Malaysia Selangor 2024.

Program dijangka menerima kehadiran lebih 300,000 pengunjung itu turut melibatkan kerjasama beberapa syarikat terkemuka seperti Apple, Siemens, Dassault Systemes dan Mendix.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.