SHAH ALAM, 1 DIS: Pempengaruh dan pendakwah media sosial Iddin Ramli memanfaatkan Pesta Buku Antarabangsa Selangor 2024 untuk mempromosi karya nukilannya bersama beberapa penulis sejak 2020.
Ditemui di Pusat Konvensyen Setia City di sini, pengasas Naseehat Holding Sdn Bhd itu turut memperkenal naskhah terbaharunya berjudul 'Seberat Itu Ya Menjadi Dewasa' kepada orang ramai.
"Buku-buku dibawa hasil tulisan saya dan beberapa penulis lain dengan yang terkini 'Seberat Itu Ya Menjadi Dewasa' menumpukan bagaimana anak-anak muda masa kini berjuang emosi serta mental.
"Perjalanan menjadi dewasa sememangnya banyak duka, luka dan perkara tidak menyenangkan. Jadi saya selitkan mesej, pujukan serta kata-kata ringkas yang diharap menyuntik motivasi dan semangat kepada pembaca," katanya.
[caption id="attachment_675908" align="alignright" width="412"] Pempengaruh Iddin Ramli ditemui dalam Pesta Buku Antarabangsa Selangor 2024 di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam pada 1 Disember 2024. Foto ZAREEF MUZAMMIL/MEDIA SELANGOR[/caption]
Pemilik nama lengkap Muhammad Iddin Ramli, 27, berkata sambutan terhadap karya yang dipamerkan amat memberangsangkan dengan kehadiran pengunjung meningkat saban hari sejak 27 November lalu.
Beliau turut mengajak orang ramai khususnya sekitar Lembah Klang untuk memeriahkan pesta buku berkenaan yang berlangsung sehingga 3 Disember untuk mendapatkan pelbagai koleksi buku.
"Banyak buku-buku boleh diperoleh di sini. Insya-Allah boleh menambah kualiti hidup kita," katanya menambah karya itu turut dipasarkan di platform TikTok dan Shopee.
Anak bongsu daripada tiga beradik itu mencipta populariti selepas meraih pengiktirafan melalui karya pertama terbitannya berjudul 'Hati ke Hati' dengan 30,000 naskhah terjual.
Beliau turut dikenali dengan penyebaran dakwah agama dan motivasi di Instagram @iddinramli serta TikTok @iddinramlii kepada generasi muda dengan gaya santai serta berkesan.
Karya lain dihasilkan dalam bentuk buku seperti Berakhirnya Mendung Kelabu, Noktah Yang Memujuk, Patah Sayap Sebelum Sembuh, Seikhlas Itu Muhammad Mencintaimu dan Curhat Perihal Mekar.