SHAH ALAM, 1 DIS: Seramai 10 pengasuh yang menjaga kanak-kanak di rumah menerima geran insentif program Iltizam Penjagaan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Selangor (IMPAK Selangor).
Pemberian geran bernilai RM2,000 itu diserahkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari sempena penutupan Sidang Kemuncak Pendidikan Selangor (SES) 2024 di Pusat Konvensyen Setia City.
IMPAK Selangor merupakan program latihan atau kursus asas dalam bidang pengasuhan yang ditawarkan percuma kepada semua pengasuh di rumah yang menjaga kanak-kanak tidak lebih daripada tiga orang.
Dikendali Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas), program yang memulakan siri pertama sejak Januari lalu bertujuan membantu suri rumah menjana pendapatan sebagai pengasuh.
Program tersebut turut menjadi ruang buat pengasuh membina kerjaya selain mengasah bakat melalui kursus berkaitan perkembangan awal kanak-kanak.
Penerima, Wahidah Mohamed Kasan, 38, berkata beliau mula mengasuh sejak enam tahun lalu dan bersyukur apabila Kerajaan Negeri mewujudkan program asuhan secara percuma.
“Program asuhan ini sangat bagus kerana dapat meningkatkan pengetahuan berkaitan pemakanan dan pentingnya penjagaan kebersihan.
[caption id="attachment_675902" align="alignleft" width="394"] Norliana Maslani[/caption]
“Dengan adanya geran insentif ini saya bercadang mahu memasang pagar dan membeli taman permainan mini untuk anak-anak asuhan,” katanya.
Bagi Norliana Maslani, 41, dari Bukit Subang, beliau gembira apabila menerima geran insentif tersebut kerana ia merupakan penghargaan kepada pengasuh di rumah.
“Pengasuh di rumah juga sebenarnya memerlukan pengetahuan sama dengan di taska berikutan penjagaan kanak-kanak penting terutama membabitkan keselamatan,” ujarnya.
Terdahulu, Amirudin turut merasmikan program saringan perkembangan awal kanak-kanak Selangor (SPAKS) iaitu program awal berkaitan perkembangan kanak-kanak khusus untuk keluarga berpendapat rendah (B40).