JERTIH, 1 DIS: Sebuah van yang membawa jenazah seorang lelaki warga emas terpaksa dibawa menaiki trak tunda dari Hospital Besut di sini sehingga ke Plaza Tol Kuala Terengganu di Gemuruh semalam, susulan banjir di daerah Besut dan Setiu.
Pemandu van jenazah Mohd Humaidi Asryaf Hassan, 30, berkata dengan menggunakan khidmat trak tunda, perjalanan ke plaza tol berkenaan lebih lancar meski pun beberapa lokasi di sepanjang laluan dinaiki air.
“Saya bawa van jenazah itu menaiki trak tunda petang semalam kerana kenderaan itu lebih tinggi untuk harung air di lokasi banjir di Besut dan Setiu, sebelum meneruskan perjalanan dari plaza tol berkenaan ke Dungun.
“Perjalanan perlu lancar bagi memastikan jenazah tiba di lokasi dengan cepat memandangkan warga emas itu sudah dua hari meninggal dunia,” katanya ketika ditemui Bernama di pekarangan bilik mayat Hospital Besut.
Mohd Humaidi berkata beliau dihubungi waris warga emas itu pada petang Jumaat bagi mengambil jenazah itu di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan untuk dibawa pulang ke Dungun.
"Setelah bertolak dari HUSM Kubang Kerian, saya terkandas di Chalok dekat Setiu ekoran paras air yang tinggi dan saya hubungi HUSM agar dapat menguruskan permohonan untuk menempatkan sementara jenazah di bilik mayat Hospital Besut .
“Syukur perjalanan petang semalam untuk bawa pulang jenazah berjalan lancar walaupun terpaksa guna trak tunda,” katanya.
- BERNAMA