SHAH ALAM, 1 DIS: Sidang Kemuncak Pendidikan Selangor (SES) yang julung kali diadakan menjadi platform buat negeri beralih ke arah revolusi industri 4.0 (IR 4.0) dan kecerdasan buatan (AI).
Dato’ Menteri Besar berkata usaha melibatkan beberapa syarikat terkemuka seperti Apple, Siemens, Dassault Systemes dan Mendix, membantu pelajar dan warga pendidik untuk meneroka lebih lanjut.
Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, tumpuan turut diberikan kepada sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), yang juga asas pelajaran bagi menjaga keseluruhan ekosistem pendidikan.
[caption id="attachment_675886" align="alignright" width="475"] Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berucap merasmikan majlis penutup Sidang Kemuncak Pendidikan Selangor(SES) 2024 di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam pada 1 Disember 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR[/caption]
“Kita tidak boleh menjadi pengguna sahaja tetapi perlu menjadi pencipta. Justeru, STEM perlu diberi tumpuan dan sepadan dengan AI supaya kepintaran teknologi atau perkara ke hadapan tidak akan tinggalkan tamadun, sosial, persekitaran dan budaya kehidupan.
“Saya percaya SES adalah langkah tepat. Kita bukan hanya melihat satu pihak tetapi mahu membangunkan negeri dengan kemajuan seimbang.
“Pasti kita mahu menggarap dan merangkul teknologi terkini untuk kehidupan lebih mudah, yang menjaga kelestarian alam,” katanya dalam majlis penutup SES di sini hari ini.
Berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City, SES menghimpunkan empat ekspo utama iaitu Pesta Buku Antarabangsa Selangor dan Ekspo Penyelidikan dan Inovasi Selangor sejak Rabu lalu.
Program turut melibatkan Ekspo STEM Selangor serta Worldskills Malaysia Selangor 2024, dengan jangkaan lebih 300,000 pengunjung hadir.