SABAK BERNAM, 1 DIS: Pelaksanaan dasar moratorium pembalakan yang dikuatkuasakan di Selangor berupaya memelihara hutan simpanan kekal (HSK) dalam tempoh 25 tahun.
EXCO Pelancongan Dato’ Ng Suee Lim berkata dasar yang diperkenal sejak 2008 menghalang segala aktiviti pembalakan dalam HSK sebagai usaha mempertahan khazanah alam.
"Selangor menjadi negeri pertama merangka dasar ini, untuk mempertahankan khazanah rimba dan hutan supaya tidak diceroboh lagi.
“Kita tidak memikirkan untuk menjana hasil dari aktiviti pembalakan, tetapi yang lebih penting memelihara kehijauan di negeri ini demi kelestarian generasi akan datang,” katanya.
[caption id="attachment_675871" align="alignleft" width="412"] EXCO Pelancongan Dato' Ng Suee Lim berucap sempena majlis perasmian penutupan Karnival Ban Canal 2024 di Parit 14, Simpang Lima, Sabak Bernam pada 1 Disember 2024. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Menurut portal Dewan Negeri Selangor, dasar moratorium masih membolehkan Kerajaan Negeri melaksanakan pembangunan dalam HSK jika melibatkan kepentingan awam.
Ia termasuk pembinaan empangan, talian Tenaga Nasional Berhad, lebuh raya dan laluan bekalan air, dengan syarat ia dibuat sebaik mungkin bagi menangani dampak pencemaran alam sekitar.
Berucap pada Majlis Penutup Ban Canal 2024 di sini hari ini, jelasnya, Selangor turut komited mengekalkan sekurang-kurangnya 30 peratus tanah negeri sebagai HSK.
Menurut Suee Lim, negeri itu mempunyai kawasan berhutan melebih 31 peratus daripada keluasan tanah negeri setakat ini, termasuk di Sabak Bernam seluas 40,794 hektar.
Pada 28 November, EXCO Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin memberitahu Kerajaan Negeri sedang mengenal pasti lebih banyak tanah untuk diwartakan sebagai HSK.
Beliau menjelaskan langkah tersebut sebahagian strategi bawah Rancangan Selangor Pertama (RS-1) untuk mengekalkan hutan negeri.