ad
AGENDA

Calon SPM terjejas banjir depani situasi sukar, mohon pertimbang tangguh peperiksaan

1 Dis 2024, 3:56 AM
Calon SPM terjejas banjir depani situasi sukar, mohon pertimbang tangguh peperiksaan

PASIR MAS, 1 DIS: Rata-rata pelajar sekolah yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada esok yang terjejas akibat banjir di Rantau Panjang, di sini, memohon Kementerian Pendidikan agar mempertimbangkan untuk menangguhkan menduduki peperiksaan itu.

Bencana berkenaan yang disifatkan terburuk melandar Rantau Panjang pada kali ini menyebabkan calon-calon SPM berdepan situasi sukar apabila uniform sekolah, peralatan sekolah serta kelengkapan peperiksaan ditenggelami dan dihanyutkan arus deras banjir.

Calon SPM, Nur Intan Lidiana Mahkrulsulam, 17, yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Rantau Panjang berkata sejak beberapa hari lepas dia terpaksa memgulang kaji pelajaran bertemankan cahaya lilin kerana rumah terputus bekalan elektrik.

"Saya telah membuat persiapan untuk SPM namun banjir luar jangka berlaku di kawasan rumah saya menyebabkan segala persiapan dan kelengkapan sekolah untuk menduduki SPM musnah dan hanyut dalam sekelip mata.

"Saya hanya sempat menyelamatkan diri bersama keluarga dengan berlari ke tingkat atas melihat arus deras di tingkat bawah dan hanya mampu termenung melihat segala barang rumah dan kelengkapan persekolahan hanyut begitu sahaja," katanya kepada pemberita di Pusat Pemindahan Sementara, Sekolah Kebangsaan Gual Tinggi, di sini, hari ini.

Nur Intan Lidiana berkata dia hanya dimaklumkan semalam untuk ke sekolah lain bagi menduduki SPM.

Menurutnya, jika pelajar sekolah tetap meneruskan untuk menduduki SPM pada esok, dia hanya mampu bertawakal.

Sementara itu, rakannya, Wirod Wet Chuen (he), 17, turut memaklumkan terpaksa belajar menggunakan lilin sejak beberapa hari lepaa apabila rumahnya dilanda banjir.

"Beberapa hari lalu saya hanya mampu mengulangkaji pelajaran di atas katil dengan tiada bekalan elektrik disertai air menaiki rumah.

"Saya berharap agar ada ihsan daripada pihak Kementerian Pendidikan untuk menangguhkan SPM dan beri kami masa," katanya.

Kedua-dua mereka adalah antara 189 pelajar sekolah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rantau Panjang yang terjejas banjir dipindahkan oleh Angkatan Tentera Malaysia dengan menaiki trak ATM untuk menduduki peperiksaan SPM di SMK Pasir Mas, SMK Sultan Ibrahim 1 dan 2.

-- BERNAMA

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.