KUALA LANGAT, 1 DIS: Festival makanan warisan dianjur di daerah Kuala Selangor tahun depan bagi mempromosi pelbagai juadah tradisi sempena Tahun Melawat Selangor.
EXCO Kebudayaan Datuk Borhan Aman Shah berkata Festival Makanan Warisan Selangor antara tarikan kepada pelancong tempatan dan luar negara selain menghimpunkan pembuat makanan tradisi dari seluruh negeri.
"Kita ada menyusun beberapa program sempena Tahun Melawat Selangor 2025 antaranya festival makanan yang sebelum ini kita laksana di Kuala Langat akan dipindah ke Kuala Selangor.
"Begitu juga beberapa program lain seperti Rentak Selangor yang akan diteruskan dan Pasar Saloma yang menghimpunkan peniaga-peniaga. Kita akan bekerjasama dengan Tourism Selangor kerana ini sebahagian persediaan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 dan Sukan Malaysia (SUKMA) 2026," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pasaraya Ehsan Segi Fresh di Batu Laut, Tanjung Sepat di sini, hari ini. Dalam program tersebut, Borhan yang juga wakil rakyat Tanjung Sepat menyampaikan bantuan bakul makanan kepada 30 penerima daripada keluarga B40.
[caption id="attachment_675693" align="aligncenter" width="700"] EXCO Kebudayaan Borhan Aman Shah mengagihkan soto palembang percuma kepada pengunjung ketika Program Fiesta Warisan Bandar Diraja Klang 2023 di Stadium Kota Raja Klang pada 25 November 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI[/caption]
Selangor menyasarkan lebih lapan juta pelancong domestik dan antarabangsa ke negeri ini sempena Tahun Melawat Selangor 2025.
Pada 2022, nasi ambeng telah diwartakan sebagai makanan tradisi dan warisan Selangor serta pewartaan itu dibuat Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT).
Malah, Kerajaan Negeri turut menerima sijil pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR) atas kejayaan menganjurkan fiesta hidangan nasi ambeng terbesar di Malaysia menerusi penyediaan 2,022 dulang hidangan di Pantai Bagan Lalang.
Selain nasi ambeng, sate Kajang yang sinonim dengan bandar Kajang sejak 1917 turut diwartakan sebagai makanan tradisi warisan Selangor.