ad
AGENDA

Tindakan pantas polis selamatkan mangsa banjir kena serangan jantung

30 Nov 2024, 2:55 PM
Tindakan pantas polis selamatkan mangsa banjir kena serangan jantung

KOTA BHARU, 30 NOV: Tindakan pantas Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menyelamatkan nyawa seorang mangsa banjir yang mengalami komplikasi jantung di kawasan terjejas teruk di Rantau Panjang, Pasir Mas.

PDRM menerusi hantaran di laman media sosial Instagram hari ini memaklumkan pesakit lelaki itu dibawa menaiki penerbangan helikopter dari Sekolah Kebangsaan Gual Tinggi di Rantau Panjang ke Markas Batalion 8 Pasukan Gerakan Am di Pengkalan Chepa sebelum dikejarkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II di Kota Bharu dengan ambulans.

“Usaha menyelamat tersebut berjaya membawa mangsa keluar dari kawasan terjejas teruk akibat banjir. Warga PDRM mendoakan semoga pesakit itu dipermudahkan dalam urusan menjalani rawatan dan diberikan kesembuhan,” menurut hantaran itu.

Monsun Timur Laut dijangka mencapai kemuncaknya pada penghujung bulan ini yang menyaksikan taburan hujan tinggi di sempadan Malaysia-Thailand selain negeri di pantai timur serta Sabah dan Sarawak.

-BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.