ad
AGENDA

Cubaan bawa masuk hampir 40 tan ayam sejuk beku, cili gagal

30 Nov 2024, 7:45 AM
Cubaan bawa masuk hampir 40 tan ayam sejuk beku, cili gagal

ALOR SETAR, 30 NOV: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Kedah menggagalkan cubaan membawa masuk 23,000 kilogram (kg) ayam sejuk beku, yang dianggarkan bernilai RM245,640 di laluan kargo pintu masuk Bukit Kayu Hitam di sini, Selasa lalu.

Pengarahnya Hisham Abu Bakar berkata pemeriksaan rapi sepasukan anggota penguat kuasa menemukan 23,000 kg keratan ayam sejuk beku, yang mempunyai tarikh luput dan nombor perakuan yang berlainan dengan sijil halal yang diisytiharkan.

“Ini pelanggaran serius mengikut Seksyen 13 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728), yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi dua tahun atau denda tidak melebihi RM50,000 atau kedua-duanya. Semua barang rampasan ditahan untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Maqis turut berjaya menggagalkan cubaan membawa masuk 16,904 kg cili tanpa Perakuan 3P sebagaimana diwajibkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) di pintu masuk Bukit Kayu Hitam, pada Sabtu.

Hisham berkata pelanggaran ini melibatkan Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) dan semua barangan telah dirampas untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 11(1), Akta 728, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara sehingga enam tahun, denda tidak melebihi RM100,000, atau kedua-duanya,” katanya.

Hisham berkata tindakan tegas akan diambil untuk memastikan barangan pertanian yang diimport ke negara ini, termasuk tumbuhan, karkas, ikan, dan hasil pertanian, bebas daripada ancaman perosak dan penyakit berbahaya.

Beliau berkata kerjasama antara agensi penguatkuasaan adalah kunci bagi memastikan kepatuhan kepada syarat dan peraturan yang ditetapkan, untuk melindungi keselamatan serta kesihatan sektor pertanian negara.

“Penguatkuasaan berterusan ini, sebahagian usaha Maqis dalam mengekang kemasukan barangan pertanian secara haram, yang boleh mengancam ekosistem dan kesejahteraan masyarakat,” katanya.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.