KUALA LANGAT, 30 NOV: Program Rewang Komuniti Strata yang menjelajah ke beberapa daerah seluruh negeri akan diteruskan tahun hadapan di Selayang dan Ampang, kata EXCO perumahan.
Menurut Datuk Borhan Aman Shah, program yang menghidupkan tradisi penduduk untuk membentuk ikatan sosial mendapat sambutan menggalakkan, termasuk permintaan daripada wakil rakyat.
"Biarpun peruntukan dipotong sedikit, saya yakin akan ada penambahan mengikut keperluan kerana ramai wakil rakyat minta program ini dianjurkan di kawasan mereka.
"Program ini diteruskan kerana dapat mendengar luahan rakyat yang tinggal di komuniti strata," katanya ditemui selepas merasmikan Pasaraya Ehsan Segi Fresh di sini, hari ini.
Belanjawan 2025 memperuntuk RM300,000 untuk meneruskan program tersebut dalam menyokong aktiviti komuniti di pangsapuri kos rendah dan projek perumahan rakyat (PPR).
Tahun ini, program bermula pada Februari di Padang Awam Pandan Jaya, Asrama Yayasan Selangor, Klang (Rewang Sahur), Ukay Perdana, Ampang Jaya dan PPR Kampung Baru Hicom, Shah Alam.