ad
AGENDA

Jalan licin, cuai faktor kenderaan pengangkut kereta perisai ATM terbabas

29 Nov 2024, 2:30 PM
Jalan licin, cuai faktor kenderaan pengangkut kereta perisai ATM terbabas

KUALA LUMPUR, 29 NOV: Keadaan jalan licin serta unsur kecuaian dipercayai antara faktor sebuah kenderaan pengangkut kereta perisai (KPKP) milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terbabas di di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) pada 7 November lalu.

Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata Lembaga Siasatan kes mendapati hujan menyebabkan jalan licin selain momentum dan berat kenderaan itu sendiri yang membawa dua kereta perisai, sebagai antara faktor kemalangan tersebut.

“Ada juga unsur kecuaian iaitu kenderaan itu dipandu melebihi kelajuan yang ditetapkan dalam prosedur operasi standard (SOP),” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan majlis kenaikan pangkat seorang anggota yang menyelamatkan empat remaja hampir lemas di Puncak Alam pada 24 November lalu di Wisma Pertahanan di sini, hari ini.

Muhammad Hafizuddeain berkata kemalangan itu melibatkan kerugian dianggarkan RM182,000 manakala dua kereta perisai yang dibawa tidak mengalami kerosakan.

"Kita tidak akan berkompromi dengan sebarang tindakan kelalaian atau kecuaian oleh mana-mana pihak, sama ada pemandu mahupun penyelia pergerakan konvoi itu sendiri.

“Kita akan menilai tindakan yang sewajarnya untuk diambil dan pihak yang bertanggungjawab akan diberikan pengadilan tetapi tiada unsur jenayah atau sabotaj dalam kemalangan tersebut,” katanya.

Pada 7 November lalu, tular di media sosial satu rakaman memaparkan sebuah kenderaan pengangkut ATM membawa dua kenderaan kereta perisai dalam perjalanan dari Kem Batu 5, Mentakab, Pahang ke Kem Syed Sirajuddin, Gemas, Negeri Sembilan terbabas di laluan bertentangan di KM35.3 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) menghala ke Bentong.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.