ad
AGENDA

Negeri kenal pasti tanah terbiar untuk dibangunkan sebagai kawasan pertanian

29 Nov 2024, 12:00 PM
Negeri kenal pasti tanah terbiar untuk dibangunkan sebagai kawasan pertanian

KUALA SELANGOR, 29 NOV: Kerajaan Negeri mengenal pasti kira-kira 200 ekar tanah terbiar milik pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh Selangor untuk dimanfaatkan sebagai kawasan pertanian.

EXCO Pertanian Ir Izham Hashim berkata setakat ini perbincangan masih dilakukan bersama semua PBT bagi melaksana program bawah Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR).

“Ada 200 ekar tanah PBT di seluruh Selangor yang kita boleh gunakan untuk tanaman cili atau bawang bawah program IPR, sekarang kita masih bincang lagi.

“Kita mahu perluaskan lagi projek pertanian di seluruh negeri selain membantu meningkatkan pendapatan rakyat,” katanya selepas memperkenalkan hasil tuaian bawang pertama di Selangor Fruit Valley (SFV) di Bestari Jaya di sini, hari ini.

Dalam majlis berkenaan, Izham memperkenal Bawang Rose Ehsan yang meraih tuaian pertama sebanyak 32 tan melibatkan kawasan seluas lapan ekar, dengan penggunaan sistem teknologi internet kebendaan (IoT).

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) Datuk Wira Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi dan Ketua Pengarah Pertanian Datuk Nor Sam Alwi.

Sementara itu, Dr Mohamad Khairil berkata pihaknya sedang melaksana kajian di Agriculture Centre of Excellence (ACE) bagi menghasilkan varieti bawang tersendiri yang lebih berdaya tahan.

Menurutnya, cabaran awal untuk merealisasi projek pertanian bawang di Selangor adalah pemilihan benih selain melibatkan kos permulaan RM16,800 bagi satu ekar tanaman.

“Tuaian bawang kita melebihi tempat lain iaitu empat tan per ekar. Itu mungkin disumbang teknologi IoT dan penggunaan sistem fertigasi. Kita telah buktikan kita berjaya tanam di sini,” katanya.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.