ad
AGENDA

PM: Cuti menteri, timbalan menteri beku, bantu mangsa banjir

29 Nov 2024, 8:16 AM
PM: Cuti menteri, timbalan menteri beku, bantu mangsa banjir

PUTRAJAYA, 29 NOV: Cuti semua Jemaah Menteri dibekukan susulan bencana banjir yang melanda negara ketika ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika memaklumkan perkara itu berkata semua menteri dan timbalan menteri turut diarahkan turun padang ke kawasan bencana.

"Semua menteri diminta teruskan tugas sekarang, turun (ke lapangan). Ya (cuti dibekukan)," katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat bersama lebih 500 jemaah di Surau Pudina, Presint 17 di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai sama ada cuti anggota Kabinet akan dibekukan ketika bencana banjir melanda negara pada masa ini.

Hujan berterusan menyebabkan jumlah mangsa banjir di beberapa negeri meningkat mendadak dengan Kelantan mencatatkan jumlah tertinggi, seramai 59,232 mangsa dipindahkan ke 221 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat pagi ini, berbanding 50,947 orang di 207 PPS malam tadi.

Di Terengganu, 20,911 mangsa daripada 5,916 keluarga berlindung di 232 PPS setakat 8 pagi ini berbanding 17,762 orang semalam.

Negeri lain yang turut terjejas banjir ialah Kedah, Perlis, Perak, Negeri Sembilan dan Selangor.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan melibatkan lapan negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Perak, Pahang, Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Johor, hingga esok.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.