ad
AGENDA

Penunggang motosikal dibawa arus berpaut pada kayu lebih sejam

29 Nov 2024, 7:59 AM
Penunggang motosikal dibawa arus berpaut pada kayu lebih sejam

ALOR GAJAH, 29 NOV: Penunggang motosikal yang hanyut dibawa arus deras berjaya diselamatkan anggota bomba selepas berpaut pada sebatang kayu lebih sejam dalam kejadian di Jalan Batu Alang Kampung Sungai Siput, Lubok China pagi tadi.

Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka Penolong Penguasa Bomba Zulkhairani Ramli berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam jam 7.32 pagi.

Beliau berkata lelaki berusia 34 tahun yang menunggang motosikal itu dikatakan dihanyutkan arus banjir ketika melalui jalan raya berkenaan yang dinaiki air.

"Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Masjid Tanah ketika itu membuat rondaan kawasan banjir telah dihubungi Pusat Gerakan Operasi (PGO) mengenai kejadian itu, dan mereka bergegas ke lokasi," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Zulkhairani berkata 10 anggota ditugaskan menyelamatkan lelaki itu yang dihanyutkan air sedalam 1.2 meter dan dia berjaya dibawa ke kawasan selamat pada jam 8.40 pagi.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.