ad
BERITA UTAMA

Banjir: Cuti lebih 500 anggota skuad Pantas PBT Selangor dibeku

29 Nov 2024, 6:00 AM
Banjir: Cuti lebih 500 anggota skuad Pantas PBT Selangor dibeku

SHAH ALAM, 29 NOV: Cuti lebih 500 anggota skuad Pasukan Tindakan Segera (Pantas) 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) Selangor dibekukan sebagai langkah siap siaga mendepani bencana banjir.

EXCO Kerajaan Tempatan Dato’ Ng Suee Lim berkata cuti anggota terlibat dijangka dibeku sehingga Januari bergantung kepada keadaan bencana, susulan Monsun Timur Laut (MTL) kali ini.

“Sekarang ini memang Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) sudah bagi maklumat awal hujan akan berterusan. Di Pantai Timur air sudah naik dan di Selangor walaupun tidak teruk tapi ada banjir kilat.

“Unit bencana di bawah Kerajaan Negeri dan skuad Pantas PBT sentiasa peka dan bersiap siaga, akan dikerahkan jika perlu. Semua sudah maklum dan kita tidak benarkan mereka (skuad Pantas) ambil cuti dalam tempoh ini,” katanya.

Ditemui selepas melancarkan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) syarikat milik Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI di sini, katanya pembekuan cuti perlu susulan keadaan banjir diramal lebih mencabar sekitar pertengahan dan akhir Disember berdasarkan rekod terdahulu.

Dalam pada itu katanya Selangor sentiasa bersedia menghantar bantuan ke kawasan terjejas banjir di Pantai Timur sekiranya ada keperluan.

“Setakat ini belum ada lagi (bantuan) digerakkan dan kita serahkan (urusan itu) kepada Dato’ Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari. Kalau ada keperluan saya rasa kita akan cuba bantu juga sebab ini bencana ini bukan kita minta tapi dia datang.

“Jadi akhirnya kita perlu bantu membantu. Semangat itu kena ada. Rasanya kalau ada keperluan, saya yakin Dato’ Menteri Besar akan arahkan. Kita tunggu,” katanya.

Sebelum ini EXCO Pengurusan Bencana Mohd Najwan Halimi berkata sebanyak 354 kawasan seluruh Selangor dikenal pasti berisiko mengalami banjir dengan Klang mencatatkan 77 kawasan setakat 13 November.

Mohd Najwan Halimi berkata 55 lokasi di Hulu Langat dikesan berisiko berlaku bencana itu, Petaling (52), Kuala Selangor (43), Sepang (42) diikuti Gombak (35), Kuala Langat (27), Hulu Selangor (12) dan Sabak Bernam (11).

Jabatan Meteorologi Malaysia menjangka Monsun Timur Laut bermula November depan sehingga Mac 2025 dengan ramalan empat hingga enam episod hujan lebat berterusan sepanjang tempoh itu.

Sebagai persediaan, Kerajaan Negeri mengadakan latihan amal dan simulasi bencana membabitkan pelbagai agensi menghadapi Monsun Timur Laut.

Setakat pagi ini, Pusat Operasi Smart Selangor memaklumkan dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka bagi menempatkan 159 mangsa daripada 39 keluarga susulan kediaman mereka dilanda banjir hari ini.

Seramai 21 mangsa ditempatkan di PPS Balai MPKK Bukit Kapar, manakala PPS SK Sungai Binjai, Meru menempatkan 138 mangsa.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.