SHAH ALAM, 29 NOV: Ahli Dewan Negeri Meru berharap agar projek tebatan banjir di kawasannya dilaksanakan segara bagi mengelak banjir kilat berulang.
Mariam Abdul Rashid ketika dihubungi berkata projek dengan kos RM130 juta itu sudah diluluskan Kerajaan Persekutuan sejak 2022, tetapi masih tiada kemajuan hingga kini.
"Saya difahamkan terdapat beberapa kekangan seperti faktor pengambilan tanah kerana ia bukan tanah kerajaan.
"Saya harap isu atau apa sahaja birokrasi dapat diselesaikan dan projek (tebatan banjir) dapat dilaksana segera, jika tidak setiap kali hujan lebat banjir akan berlaku," katanya.
Pembinaan projek tebatan banjir itu membabitkan kawasan berisiko bah antaranya termasuklah Jalan Hamzah Alang, Fairy Park, Sungai Binjai dan Sungai Palong.
Hujan lebat sejak petang semalam mengakibatkan beberapa kawasan di Klang dinaiki air.
Susulan itu, dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Selangor yang menempatkan 159 mangsa daripada 39 keluarga.
Berdasarkan data Pusat Operasi Smart Selangor (SSOC), seramai 21 mangsa ditempatkan di PPS Balai MPKK Bukit Kapar, manakala PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Binjai, Meru menempatkan 138 mangsa.