SHAH ALAM, 29 NOV: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menyerus pentadbir surau kebenaran solat Jumaat mempelbagaikan kegiatan bagi mengimarahkan lagi rumah ibadah berkenaan.
Menurut agensi itu, penganjuran sebarang kegiatan mestilah mengikut enakmen, peraturan dan garis panduan yang ditetapkan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan Jais.
"Pentadbir surau juga ditekankan untuk mengamalkan prinsip pengurusan berintegriti dan akauntabiliti agar terus dihormati serta dimuliakan oleh masyarakat," katanya dalam kenyataan.
Berlangsung di Cherengin Hill Convention and Spa Resort, Janda Baik, Pahang, program dua hari sejak 23 November dihadiri 355 pengerusi dan wakil surau solat Jumaat.
Jais memberitahu program itu bertujuan memastikan peserta dapat memahami hala tuju, dasar dan ketetapan Kerajaan Negeri, Mais dan Jais berhubung pengurusan masjid dan surau.
"Tambahan pula, masyarakat dan ahli kariah sangat prihatin terhadap isu berkaitan dengan pengimarahan serta kawalan tatakelola institusi yang menjadi pusat ibadat umat Islam," katanya lagi.
Pelbagai pengisian diadakan antaranya termasuklah perkongsian dari tujuh penceramah dan pembentangan tujuh resolusi multaqa.
Sementara itu, Pengarah Jais Dato' Mohd Shahzihan Ahmad yang merasmikan majlis berkenaan turut berharap ilmu dan kefahaman yang diperoleh peserta pada program itu dimanfaatkan sebaiknya.